Snapdragon 865 telah diumumkan secara rasmi semalam dan baru hari ini pihak Qualcomm berkongsi tentang spesifikasi dan butiran penuh mengenai cip itu. Snapdragon 865 ini merupakan pengganti cip Snapdragon 855 yang akan digunakan secara meluas pada tahun 2020 nanti. Terdapat beberapa penambahbaikan dan juga peningkatan berbanding cip yang sebelumnya.
CPU
- Konfigurasi 8 teras, kluster pecahan 1 + 3 + 4
- 1 x Kryo 585 Teras utama (Berpandukan Cortex A77) pada 2.84Ghz
- 3 x Kryo 585 Teras prestasi (Berpandukan Cortex A77) pada 2.4Ghz
- 4 x Kryo 385 Teras jimat tenaga (Berpandukan Cortex A55) pada 1.8GHz
- 25% lebih pantas berbanding Snapdragon 855
- 25% lebih jimat tenaga
Snapdragon 865 mempertingkatkan prestasi CPU sebanyak 25% dan lebih jimat tenaga 25% berbanding Snadpragon 855 dengan menggunakan rekaan Cortex A77 ARM yang baharu. Ia menawarkan peningkatan prestasi berbanding rekaan Cortex A76 yang terdapat dalam Snapdragon 855.
GPU
- Adreno 650
- Snapdragon Elite Gaming dengan fungsi baharu Desktop Forward Rendering, Game Color Plus, pemacu GPU boleh dikemaskini, Snapdragon Game Performance Engine, dan Adreno HDR Fast Blend
- Grafik rendering 20% lebih pantas
- 35% lebih jimat tenaga
Berbanding Adreno 640 tahun lepas, kemampuan pemprosesan Adreno 650 telah dipertingkatkan sebanyak 20% serta pada masa yang sama 35% lebih jimat tenaga. Qualcomm juga mendakwa bahawa Adreno 650 dapat mengekalkan prestasi lebih lama sebelum fps permainan akan menurun.
Terdapat juga 5 fungsi baharu yang disertakan pada Snapdragon Elite Gaming Adreno 650 kali ini iaitu Desktop Forward Rendering, Game Color Plus, pemacu GPU boleh dikemaskini, Snapdragon Game Performance Engine.
Desktop Forward Rendering merupakan ciri-ciri dalam Unreal Engine yang dibawa kepada platform Android. Ia digunakan dalam permainan PC untuk bayang dinamik, motion blur dan berbagai lagi kesan pasca pemprosesan yang lain.
Game Color Plus pula menukar kualiti warna kepada HDR dari SDR dengan meningkatkan perincian dan juga kepekatan warna.
Terdapat ciri board support package (BSP) baharu pada Snapdragon 865 yang membenarkan pemacu GPU boleh dikemaskini melalui Google Play Store. Jika sebelum ini, pemacu GPU dipakejkan sekali melalui kemaskini sistem perisian.
Tiada maklumat khusus yang Qualcomm bincangkan mengenai Snapdragon Game Performance Engine. Namun, ia mungkin berfungsi sama sebagaimana GPU Turbo pada peranti Huawei. Mengikut Qualcomm, fungsi ini akan mengekalkan prestasi permainan pada kadar yang lebih lama.
Adreno HDR Fast Blend merupakan perkakasan baharu terbina yang digunakan untuk meningkatkan prestasi permainan dalam situasi grafik kompleks. Ia dikatakan akan membantu sebanyak 2x ganda prestasi berbanding Snapdragon 855.
Paparan
- Sokongan maksimum peranti sehingga 4K 6oHz, QHD+ 144Hz
- Sokongan maksimum output 4K 60Hz
Dengan kemampuan grafik yang lebih berkuasa, Adreno 650 pada Snapdragon 865 mampu menyokong sehingga 144Hz pada resolusi QHD+. Buat masa ini, peranti dengan 120Hz merupakan panel dengan kadar segar semula paling tinggi. Dengan penggunaan Snapdragon 865 pada tahun hadapan, kita mungkin bakal menyaksikan ada jenama yang akan cuba mendapatkan gelaran ‘peranti pertama dengan 144Hz’ nanti.
AI
- Hexagon 698 digital signal processor (DSP)
- AI Engine generasi kelima
- 15 TOPS
AI mungkin antara terma yang disalah ertikan sehingga algoritma mudah seperti beauty mode pun dikatakan AI. Namun, kita juga boleh melihat kemampuan AI terutamanya apa yang ditunjukkan oleh peranti Pixel 4. Dengan bantuan AI itu jugalah ia membantu Pixel 4 dalam kameranya, pemprosesan pantas Google Assistant yang terbina dan sebagainya.
Terdapat AI Engine dengan generasi kelima yang dimuatkan dalam Hexagon 698 tersebut. Dengan generasi AI Engine baharu tersebut, ia mampu menjana 15 TOPS berbanding 7 TOPS sahaja pada Snapdragon 855.
Memori
- LPDDR5 pada kelajuan 2750MHz
Dengan kelajuan RAM yang lebih dipertingkatkan, ia akan menjadikan penukaran antara aplikasi lebih lancar. Pada Snapdragon 865, ia menyokong RAM sehingga LPDDR5 pada kelajuan 2750MHz.
Kamera
- Spectra 480 image signal processor (ISP)
- Kamera tunggal sehingga 200MP
- Dwi-kamera sehingga 25MP
- Video 4K 120fps atau 8K 30fps
- Video slo-mo sehingga 720p 960fps (tanpa had)
ISP Spectra 480 tersebut mampu memproses gambar pada kelajuan 2 Gigapixel per saat. Ia juga membolehkan gambar diambil pada saiz 200MP. Rakaman juga telah dipertingkatkan kepada maksimum 8K pada 30fps. Antara penambahbaikan lain adalah rakaman video 720p 960fps slo-mo tidak lagi mempunyai had.
Modem
- Snapdragon X55 4G LTE dan 5G modem multimode
- Muat turun sehingga 7.5Gbps (5G), 2.5Gbps (4G)
- Muat naik sehingga 3Gbps (5G), 316Mbps (4G)
Antara fokus utama Snapdragon 865 adalah 5G. Cip ini dipadankan dengan modem Snapdragon X55 untuk rangkaian tersebut. Dengan modem ini, ia mampu memuat turun dengan kelajuan sehingga 7.5Gbps dan juga muat naik sehingga 3Gbps.
Walau bagaimanapun, modem Snapdragon X55 ini tidak terbina dalam cip Snapdragon 865. Untuk mendapatkan rangkaian, ia perlu dipakejkan sekali dalam satu papan induk.
Rangkaian
- Wi-Fi Modem Qualcomm FastConnect 6800
- Wi-Fi 6
- Bluetooth 5.1
- aptX Voice
Qualcomm FastConnect 6800 pada Snapdragon membawakan fungsi Wi-Fi baharu yang mengurangkan kesesakan (congestion) rangkaian dan juga meningkatkan laluan rangkaian yang diterima.
Modem ini juga menyokong piawaian Bluetooth 5.1 yang baharu berbanding Bluetooth 5.0 pada Snapdragon 855. Terdapat juga teknologi aptX Voice baharu untuk kejelasan bunyi dan suara ketika penggunaan Bluetooth.
Senibina
- 7nm (N7P TSMC)
Snapdragon 865 dibina pada proses 7nm, saiz yang sama dengan Snapdragon 855, namun ia menggunakan proses lebih maju. Ia menggunakan optimasi prestasi untuk meningkatkan prestasi sebanyak 7% pada kuasa yang sama dan juga mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 10% pada kelajuan frekuensi yang sama.
Untuk makluman, ‘P’ pada N7p merujuk kepada performance-enhanced, iaitu peningkatan prestasi berbanding proses N7 pada Snapdragon 855.
Cip Snapdragon 865 akan digunakan seawal tahun hadapan untuk peranti kelas flagship. Buat masa ini, Xiaomi Mi 10 dan juga OPPO adalah antara jenama yang disahkan untuk menggunakan cip ini.