Bukan Telefon Pintar Sahaja, Peralatan Komunikasi & Wayarles Juga Wajib Ada Label MCMC

Pengguna sering diingatkan untuk memastikan label MCMC ada pada telefon pintar dan menyemak kesahihannya sebelum membuat sebarang pembelian telefon pintar dari pelbagai jenama yang dijual di pasaran tempatan.

Namun secara umumnya, peralatan yang mempunyai keupayaan untuk bersambung dengan rangkaian komunikasi atau peralatan yang berkomunikasi dengan menggunakan gelombang radio (peralatan wayarles) wajib diperakui dan mempunyai label MCMC.

Oleh yang demikian, keperluan pemerakuan dan label MCMC tidak terhad hanya kepada telefon pintar sahaja semata-mata.

Berikut adalah antara contoh-contoh peralatan komunikasi dan wayarles yang wajib diperakui dan mempunyai label MCMC:

  • Komputer riba

  • Vakum robotik pintar

  • Dron

  • TV pintar

  • Walkie - talkie

  • Dekoder TV digital

  • CCTV wayarles

  • Telefon wayarles

  • Router wayarles




Semakan label MCMC adalah sangat penting bagi memastikan pengguna hanya membeli peralatan komunikasi dan wayarles yang telah diperakui dan mematuhi standard seperti yang dinyatakan di dalam Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Peralatan komunikasi dan wayarles yang telah diperakui dapat mengelakkan daripada berlakunya masalah seperti gangguan frekuensi serta memastikan kualiti perkhidmatan yang diterima adalah pada tahap yang optimum.

Label MCMC juga berperanan menandakan peralatan komunikasi dan wayarles berkenaan selamat untuk digunakan serta ia adalah peralatan yang tulen dan bukannya klon ataupun palsu.

Terdapat dua (2) jenis label MCMC iaitu label permukaan dan label digital. Label permukaan  terdapat dalam bentuk ukiran, cetakan atau pelekat yang boleh didapati pada permukaan atau dalam buku panduan pengguna peralatan tersebut.

Manakala, label digital kebiasaannya terdapat pada peralatan yang mempunyai skrin paparan dan ianya diintegrasikan dalam sistem operasi peralatan tersebut.

Rajah di bawah memaparkan contoh label permukaan MCMC dengan pelekat fizikal.



Berikut pula adalah contoh label digital MCMC yang diintegrasikan dalam sistem pengoperasian peralatan.



Aplikasi mudah alih Check Your Label (CYL) diperkenalkan bagi memudahkan pengguna menyemak status perakuan dan kesahihan label MCMC pada peralatan komunikasi dan wayarles. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma dari Google Play untuk pengguna Android dan dari Apple AppStore untuk pengguna iOS.



Anda boleh menyemak status pemerakuan dan kesahihan label MCMC peralatan komunikasi dan wayarles dengan memasukkan nombor IMEI bagi peralatan yang mempunyai kad sim atau nombor siri peralatan berkenaan ke dalam aplikasi CYL.

Maklumat IMEI boleh diperolehi dengan mendial *#06# pada pad kekunci peralatan tersebut.



 
Anda juga boleh menyemak status pemerakuan menggunakan nombor siri peralatan dengan memasukkan butiran peralatan iaitu jenama, model dan nombor siri ke dalam aplikasi CYL.

Nombor siri  peralatan boleh didapati pada tag peralatan, manual pengguna atau kad waranti.



Rajah di bawah adalah contoh hasil semakan peralatan komunikasi yang mempuyai rekod pemerakuan menggunakan aplikasi CYL



Anda sebagai pengguna bertanggungjawab untuk memastikan peralatan komunikasi dan wayarles mempunyai label MCMC sebelum membuat pembelian bagi memastikan ia telah diperakui.



Peraturan 16 (1) menetapkan individu tidak boleh menggunakan, menawarkan untuk menjual, menjual atau ada dalam miliknya dengan tujuan menjual apa-apa kelengkapan komunikasi yang bertentangan dengan standard, tidak diperakui, telah diperakui tetapi diubah atau diubah suai kemudiannya dan tidak lagi mematuhi standard serta peralatan yang tidak mempunyai tanda atau label pemerakuan.

Individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Untuk informasi terkini mengenai program CYL, anda boleh mengikuti media sosial Facebook (@checkyourlabel), Instagram (@checkyourlabel_mcmc) dan YouTube (Check Your Label MCMC).

Layari laman sesawang https://cyl.mcmc.gov.my/ untuk maklumat lanjut.

*Artikel ini dibawakan oleh NOSB