Mungkin masih ramai yang tidak tahu bahawa anda berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma hanya dengan memuat turun aplikasi rasmi dari Pertubuhan Keselamatan Sosial.
Dengan memuat turun aplikasi itu, anda boleh menyertai inisiatif Program Saringan Kesihatan (HSP) 3.0.
HSP merupakan insentif yang disediakan oleh PERKESO dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan mengenal pasti kumpulan pekerja yang berisiko tinggi menghidap penyakit tidak berjangkit.
Melalui program ini, pemeriksaan kesihatan ditawarkan secara percuma kepada pekerja yang layak untuk memangkin kesedaran berkenaan kepentingan pemeriksaan kesihatan di kalangan pekerja bagi pengesanan awal penyakit tidak berjangkit.
HSP 3.0 ditawarkan bermula 16 Mei 2023 sehingga 31 Disember 2023.
Tetapi daripada mesej jawapan yang diterima dari pihak PERKESO mengesahkan bahawa program ini dilanjutkan sehingga tahun 2024.
Jadi, ini adalah peluang untuk anda menjalani pemeriksaan kesihatan yang berharga ratusan Ringgit secara percuma dengan adanya inisiatif ini pada tahun 2024.
PERKESO HSP 3.0 menawarkan sebanyak 12 jenis saringan kesihatan iaitu:
- Indeks Jisim Badan (BMI)
- Sejarah kesihatan
- Kesihatan mental
- Tekanan darah
- Saringan kencing manis (HbA1c)
- Fungsi hati
- Fungsi buah pinggang
- Ujian air kencing untuk protin
- Komposisi darah merah
- Kolesterol
- Tumour marker (CEA & AFP)
- Saringan kanser payudara dan pangkal rahim/serviks (mamogram dan pap smear) untuk wanita sahaja.
Berikut adalah cara menyertai PERKESO HSP 3.0 ini:
1. Muat turun aplikasi SEHATi
Anda perlu memuat turun dan memasang aplikasi SEHATi terlebih dulu ke dalam telefon pintar Android atau iOS anda.
2. Daftar
Seterusnya mendaftar di aplikasi SEHATi dengan mengisi ruang kosong seperti rajah di bawah.
3. Sahkan pendaftaran
Anda perlu sahkan pendaftaran terlebih dahulu sebelum boleh mengakses akaun SEHATi anda. Pengesahan akan dihantar ke dalam e-mel anda.
4. Semak kelayakan
Selepas itu, anda sudah boleh mengakses aplikasi tersebut. Seterusnya, anda klik pada butang KLIK DI SINI HSP 3.0 SARINGAN PERCUMA bagi menyemak terlebih dulu sama anda layak atau tidak untuk menjalani saringan kesihatan percuma tersebut.
Berikut adalah Kriteria kelayakan bagi HSP 3.0:
- Warganegara Malaysia
- Berumur antara 40 hingga 59 tahun
- Merupakan pencarum aktif PERKESO di bawah Akta Keselamatan Pekerja 1969 iaitu mempunyai sekurang-kurang satu (1) caruman terkini dalam tahun semasa.
- Mempunyai sekurang-kurangnya 12 bulan caruman di bawah Akta Keselamatan Pekerja 1969.
5. Jika layak
Jika layak, anda klik pada pautan Klik DI SINI untuk penetapan janji temu anda.
6. Pilih pakej
Pilih PAKEJ HSP – PERKESO HSP 3.0 >40yrs dan tekan butang Add to Cart. Tekan butang Tutup dan tekan butang TERUSKAN.
7. Pilih klinik untuk saringan
Selepas tekan butang TERUSKAN, anda perlu membuat carian dan pilih pusat kesihatan berhampiran anda yang menawarkan pakej ini.
8. Tempah temujanji
Selepas pilih klinik, anda tekan butang Tempah Temujanji.
Apabila tempahan dibuat, anda akan menerima notifikasi dari pihak klinik tersebut yang akan menetapkan tarikh untuk anda hadir ke klinik bagi temujanji saringan kesihatan yang akan dibuat di klinik pilihan anda itu.
Saringan kesihatan amat digalakkan kepada semua sebagai usaha mengesan penyakit tidak berjangkit pada peringkat awal dan menggalakkan budaya hidup sihat.
Jadi, bagi anda yang sudah memasuki umur 40 tahun pada tahun 2024 ini, boleh mengambil peluang dengan memanfaatkan inisiatif ini bagi menyemak status kesihatan diri anda secara percuma.
Untuk dapatkan info lebih lanjut tentang Program Saringan Kesihatan (HSP) 3.0 ini, layari laman rasmi PERKESO
{suggest}