Bocoran Mengenai Nama Dan Harga iPhone Keluaran 2018 Telah Berlegar Di Internet

Lebih kurang seminggu lagi Apple bakal mengadakan satu acara khas yang mana ramai meramalkan ia adalah majlis pelancaran iPhone 2018.

Siri khabar angin yang bertiup sebelum ini menyebut syarikat pengeluar dari Cupertino itu akan menampilkan tiga variasi iPhone.

Berdasarkan bocoran terbaru, model dengan paparan OLED 6.5 inci bakal dinamakan sebagai iPhone Xs Max. Ia sama sekali berlawanan dengan pendapat orang ramai yang menyangka model itu adalah iPhone Xs Plus.

Selain daripada itu, sebuah lagi model dipanggil iPhone Xs. Kedua-duanya dikatakan hampir serupa kecuali berbeza dari segi saiz skrin, resolusi dan kapasiti bateri.

Nama untuk sebuah lagi model yang dikatakan versi mampu milik masih belum lagi tertiris. Ia dikatakan dipasang dengan skrin LCD berukuran 6.1 inci.

Berkenaan harga pula, berdasarkan laporan GSMArena yang memperoleh satu sumber dari Jerman menyatakan iPhone 6.1 inci skrin LCD dijual pada harga $799 (~RM3313), iPhone Xs $909 (~RM3769) dan iPhone Xs Max pula berkemungkinan didagangkan pada harga $1149 (~RM4764).

Sumber: Macerkopf via GSMArena