BOB - Peranti Modular Pertama Yang Dikuasakan Oleh Blockchain

Anda mungkin mengingati lagi Project Ara daripada Google. Walaupun umur projek itu tidak panjang kerana ia mati sebelum sempat dilancarkan, idea peranti dengan konsep modular masih belum mati lagi. Terbaru, sebuah syarikat rangkaian jualan kriptowang Pundi X telah menghasilkan Blok on Blok (BOB) iaitu sebuah peranti yang memfokuskan kepada teknologi blockchain. Pada masa yang sama ia juga adalah merupakan peranti dengan konsep modular.



BOB disertakan dengan kit pemasangan yang mempunyai pelbagai komponen seperti papan induk, panel skrin, kamera, pembesar suara, butang kawalan, dan aksesori tambahan, yang boleh diubahsuai di laman rasmi mereka.

Terdapat manual pemasangan serta video yang dilampirkan untuk memasang peranti tersebut. Menariknya, Pundi X juga menawarkan pilihan untuk menambah bahagian tambahan menggunakan pencetak 3D.

Untuk spesifikasi, BOB dikuasakan oleh Snapdragon 660 dengan 6GB RAM dan 128GB storan dalaman. Skrin peranti adalah bersaiz 4.97 inci FullHD AMOLED. Kamera peranti pula adalah 48MP belakang dan 16MP untuk bahagian swafoto.

Terdapat bateri 3,300mAh yang juga menyokong pengecasan tanpa wayar, bicu 3.5mm, pengimbas cap jari, NFC serta sokongan dwi-kad sim.

Peranti menjalankan perisian Function X, sebuah sistem operasi terbuka dikuasakan oleh blockchain. Dengannya, tugasan yang dilakukan akan disulitkan (encrypted) dan decentralized.

Sebagai sebuah peranti pintar, ia juga tetap menawarkan penggunaan normal dengan perisian Android Pie yang boleh ditukar-ditukar dengan Function X.



Peranti dijual pada harga 599USD (~RM2465) melalui aplikasi kriptowang XWallet dan juga akan boleh didapati di laman kempen Kickstarter tidak lama lagi.

Sumber: BOB