BlackShark Turut Melancarkan Gamepad 3.0, Bluetooth Gaming Headset, Dan Kipas Penyejuk

Dalam acara pelancaran Black Shark 3 dan Black Shark 3 Pro yang berlangung pada 3 Mac, Black Shark turut mengumumkan beberapa aksesori tambahan bagi permainan mudah alih. Aksesori tersebut termasuk Black Shark Gamepad 3.0, Bluetooth Gaming Headset dan kipas penyejuk.



Gamepad 3.0 merupakan model generasi ketiga selepas Black Shark Gamepad 1.0 yang dilancarkan bersama Black Shark dan Gamepad 2.0 yang dilancar semasa pelancaran Black Shark 2. Gamepad 3.0 mempunyai rekaan yang hampir sama dengan model sebelumnya.

Namun, rekaan ini adalah lebih ergonomik dan memberikan rasa cengkaman yang lebih baik. Butangnya juga disusun sama seperti format pada model terdahulu iaitu tombol analog dengan 6-paksi, 4 butang gameplay, butang di bahagian bawah untuk mengaktifkan Bluetooth dan lampu LED yang menunjukkan Bluetooth diaktifkan.



Bluetooth Gaming Headset pula merupakan fon telinga tanpa wayar pertama dikeluarkan oleh Black Shark. Ia menawarkan jangka hayat bateri sehingga 14 jam. Fon telinga ini hadir dengan sokongan Bluetooth 5.0 dan lampu RGB yang akan diaktifkan apabila aksesori ini digunakan.

Aksesori Black Shark 3

Seterusnya, Black Shark turut mengumumkan Black Shark Frozen Back Clip Pro yang serasi dengan peranti iOS dan Android. Kuasa penyejukan kipas penyejuk ini boleh mencapai 9W. Menurut Black Shark, aksesori ini boleh menyejukkan peranti sehingga 14 darjah Celsius dalam masa seminit.

Black Shark menawarkan Frozen Back Clip Pro pada harga 179 yuan (~RM107), sementara Gamepad 3.0 berharga 199 yuan (~RM199). Tiada pengumuman mengenai harga Bluetooth Gaming Headset.

Sumber: GizmoChina