Binaan Seperti Peranti Bangsawan Tapi Dijual Pada Harga Pertengahan

Dalam penghasilan telefon pintar, setiap inci peranti datang dengan kos yang tertentu dan tidak hairanlah model kelas atasan dijual pada harga yang agak keras. Nak barang baik luar dalam, kenalah bayar lebih sikit.

Ada juga peranti dengan spesifikasi tinggi dijual pada harga yang murah, tetapi luarannya tampak sugul dan tiada daya penarik. Ada pula peranti yang cantik diluar tapi biasa-biasa saja pada bahagian dalam.

Pengguna mungkin tak mampu nak keluarkan bajet yang lebih, tapi syarikat pengeluar mampu tawarkan model yang bersesuaian dengan kehendak pasaran. Itulah yang dilakukan oleh Xiaomi menerusi model terbaru mereka Mi 9T. Komponen luar dan dalamnya seimbang bersama-sama harga yang cukup mesra poket.

1. AMOLED bebas takuk dilindungi Corning Gorilla Glass 5

Menggunakan paparan AMOLED berukuran 6.39 inci, Mi 9T bebas dari tren takuk yang sedia dibenci sebahagian daripada pengguna.



Ia menyokong resolusi Full HD+ (2340 x 1080), HDR10 serta ruang warna DCI-P3 dan cemerlang dari segi kecerahan dengan tahap 450nits dan boleh mencapai sehingga 646nits.



Apa guna paparan cantik tetapi tidak dilindungi dan oleh kerana itu, Xiaomi menyediakan Mi 9T dengan Corning Gorilla Glass 5. Disebalik skrin paparan ini juga diletakkan dengan sensor pengimbas cap jari, ciri yang dahulunya ditawarkan pada peranti segmen atasan dan sudah mula digunapakai pada peranti pertengahan lain termasuk Mi 9T.

2. Kamera terangkat 20MP boleh keluar masuk 300,000 kali

Bermacam-macam cara diketengahkan pengeluar dalam memberikan paparan cantik tanpa sebarang gangguan takuk. Lensa kamera disembunyikan dengan pelbagai cara. Masuk menggelungsur, terangkat, berputar, terlipat terbalik ke sini-sana. Macam-macam.



Bagi Mi 9T, ia didatangkan dengan mekanisme yang sudah biasa kita lihat iaitu kamera terangkat. Lensa itu juga diberikan sedikit sentuhan visual dengan peletakan LED pada sisi panel terangkat tersebut. Keluar masuknya diiringi dengan kesan bunyi yang boleh ditukar mengikut kegemaran pengguna.

Xiaomi tidak melupakan ciri perlindungan bagi panel terkeluar ini dimana ia menyertakan keupayaan untuk masuk semula secara automatik apabila mengesan peranti dalam keadaan sedang jatuh. Jadi usah bimbang, bahagian terjojol itu akan selamat. Menguatkan lagi ciri ketahanan kamera hadapan itu adalah penggunaan yang mampu menjangkau angka 300,000 kali keluar masuk. Matematik mudahnya, 100 kali keluar masuk dalam sehari mampu bertahan sehingga 8 tahun penggunaan.

3. Panel belakang dengan corak umpama "bara api"

Bertugas melindungi komponen dalaman, panel belakang tidak dibiarkan hambar begitu sahaja. Kita sedia melihat pelbagai cara diketengahkan pengeluar dalam memastikan peranti mereka sedap dipandang. Ada peranti yang dilengkapi panel belakang dihiasi dengan kombinasi dua atau tiga tona warna, ada yang berubah corak apabila terkena pantulan cahaya.



Namun keterujaan itu sedikit terbantut kerana ia hanyalah panel polikarbonat sahaja sementara Mi 9T pula mengekalkan elemen premium dibahagian depan dan belakang. Terdapat beberapa model yang dijual pada nilai lebih kurang sama seperti Mi 9T tetapi hanya dipasang dengan panel plastik dan ini merupakan kelebihan buat peranti Xiaomi itu.

Binaan belakang diperbuat daripada kaca itu tidak dibiarkan kosong dimana ia disertakan dengan corak umpama bara api bagi pilihan warna Glacier Blue dan Flame Red. Sekiranya anda mahukan warna yang lebih cool, Mi 9T turut menawarkan Carbon Black.

4. Badan sedap dipegang

Mengeliling antara kaca depan dan belakang adalah bingkai besi dengan kemasan berkilat mengikut warna tema peranti. Sisi melengkung kearah panel skrin menampakkan peranti seolah-olah lebih nipis.



Terasa sedikit licin, namun pegangan tangan pada peranti dibuat dengan kemas dan berat yang sekata memberikan rasa seperti sebuah peranti bangsawan premium tetapi pada harga pertengahan.



Menambah keelokan rupa paras Mi 9T adalah bump kamera belakang yang tidak keterlaluan seperti model-model terdahulu. Walaupun tidak rata sepenuhnya, ia kelihatan lebih kemas dengan susunan tiga kamera secara menegak pada bahagian tengah.

5. Membariskan tiga lensa kamera, 48MP+8MP+13MP

Seperti kebanyakkan telefon pintar lain, Mi 9T disediakan dengan kombinasi lensa berbeza. Ini memberikan keupayaan untuk merakam pelbagai jenis foto bersama kualiti  yang sesuai dikongsikan terus ke media sosial anda.



Berada diatas sekali adalah lensa utama 48MP (f/1.75), diikuti 8MP lensa telefoto (f/2.4) dan lensa sudut ultra lebar 13MP (f/2.4). Walaupun berupaya memberikan hasil foto yang berkualiti, anda boleh menambahbaik rakaman melalui alat suntingan yang disediakan seperti Sky Filter Replacement.



Ciri ini sangat sesuai dengan anda yang menggemari rakaman foto berlatarbelakangkan awan dimana ia mempunyai 6 pilihan seperti Sunny, Cloudy, Rainbow, Glow, Dusk dan Sunset.



Nampak? Dengan harga RM1199 sahaja anda boleh dapatkan sebuah peranti yang cukup sifat diluar dan dalam. Semua diberi cukup-cukup rasa dengan nilai yang berpatutan.



Mungkin ada antara anda yang sudah berjaya memiliki Mi 9T, boleh payung satu dua pendapat tentang peranti ini diruangan komen atau yang sedang berhajat untuk mendapatkan Mi 9T, bolehlah terus ke Lazada, Mi Store atau pengedar sah Xiaomi berhampiran.