Billionair Jepun Bakal Jadi Pelancong Pertama Ke Bulan

Syarikat SpaceX yang dimiliki oleh CEO Tesla, Elon Musk semalam telah mengesahkan bahawa seorang billionair Jepun, Yusaku Maezawa, 42, akan menjadi pelancong pertama ke Bulan bersama mereka. Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Elon di ibu pejabat SpaceX di California.

Maezawa merupakan taikun pusat beli belah fesyen atas talian terbesar Jepun, Zozotown menyatakan kesediaannya untuk "terbang" seawal tahun 2023. Malah, beliau mahu membawa penggiat seni bersamanya bagi menjayakan projek yang dinamakan #dearmoon ini.

https://twitter.com/elonmusk/status/1041880316657336320

Beliau mahu menjemput enam hingga lapan orang penggiat seni untuk bersamanya bagi mengetahui pandangan mereka mengenai bulan selepas selesai misi selama satu minggu tersebut. Maezawa juga telah menempah kesemua kerusi yang tersedia dalam kapal angkasa Big Falcon Rocket(BFR) yang masih belum dibangunkan itu.

Elon Musk dan Maezawa sendiri menolak untuk mendedahkan jumlah bayaran yang telah dipersetujui antara kedua belah pihak namun semua artis yang terpilih untuk ikut serta nanti akan ditanggung oleh Maezawa.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=2&v=7wrk5u8FgbM

Untuk pengetahuan anda, satu laman sesawang khas untuk projek #dearmoon ini telah pun dibangunkan. Sama ada perjalanan ini benar-benar mampu dilaksanakan atau tidak, hanya masa dan kuasa Tuhan yang akan menentukannya.

 

Sumber