Bila ASUS ROG Phone 5 Jadi Sebuah Mesin Konsol Retro Terbaik

Sekarang ini apabila orang cakap telefon gaming terbaik yang anda boleh beli adalah ASUS ROG Phone 5, memang susah untuk menafikannya kerana prestasi dan penawaran gamingnya yang boleh dikatakan lengkap.

Baik prestasi permainan, aksesori, malahan perisian bantu pun semuanya boleh dikatakan berada dalam satu pakej melayakkan panggilan telefon gaming yang sangat baik. Jika anda mahu membaca ulasan penuh mengenainya, boleh ke pautan ini.

Namun begitu, keluhan saya adalah untuk telefon gaming Android, tidak banyak permainan berkualiti tinggi yang boleh mengambil manfaat terhadap penawaran ROG Phone 5 ini.

Jadi untuk membeli sebuah telefon gaming dan kemudiannya menggunakannya untuk beberapa kerat permainan dalam Google Play Store mungkin agak kurang berbaloi.

Akan tetapi, ada satu arena gaming Android yang mudah diakses tetapi jarang disebut adalah permainan dari emulator retro.

Emulator seperti PSP, Nintendo 3DS, Nintendo Wii, PS2, dan lain-lain sangat sesuai dimainkan pada Android kerana ia merupakan sistem operasi sumber terbuka jadi ia mesra dengan benda-benda sebegini.

Dengan unit ulasan ROG Phone 5 yang sama juga, saya turut mencuba permainan konsol retro untuk merasa sendiri pengalaman bermain dan mengimbau memori ketika waktu kecil bermain konsol lama.



Saya mendapati ASUS ROG Phone 5 sangat sangat memuaskan digunakan untuk bermain emulator. Ia disebabkan ia menggabungkan elemen prestasi bermain ada grafik tertinggi, alat kawalan, dan yang paling seronok adalah perisian untuk memasukkan input alat kawalan yang sangat mudah.

Diberikan contoh, walaupun PSP merupakan sebuah konsol yang lama dan hanya mampu memainkan resolusi setakat 480p, dengan emulator PSP pada Android, anda boleh memainkan resolusi penuh sehingga 4K malah fps juga boleh lebih dari 60fps.

Ia menjadikan pengalaman main permainan yang sama menjadi lebih segar dan juga imersif setanding dengan permainan zaman kini yang bergrafik tinggi.

Sebagai contoh, ketika memainkan God of War pada ROG Phone 5, saya boleh memainkan resolusi asal sehingga 6x ganda menjadikan butiran lebih cantik dan juga menaikkan kepada 60fps.



Dicampur dengan butang fizikal alat kawalan Kunai 3 Gamepad itu, memang rasa sangat puas dan dirasakan ia satu pelaburan yang berbaloi jika mahu bermain permainan konsol retro pada kualiti sangat tinggi.



Disebabkan kebanyakan permainan pada Google Play Store lebih memfokuskan kepada input sentuhan, dan jika ada pun sangat sukar untuk mencari permainan berkualiti tinggi, bermain permainan konsol retro pada ROG Phone 5 merupakan satu kepuasan yang begitu lazat.

Saya rasa jika anda peminat permainan konsol retro dan mencari-cari telefon apa yang sedap untuk dijadikan alat emulator, ROG Phone 5 ini memang saya sangat sangat syorkan atas sebab-sebab ini:

  • Prestasi memainkan permainan retro pada kualiti sangat tinggi

  • Pengawalan haba cemerlang (rujuk ulasan ROG Phone 5)

  • Aksesori alat kawalan sedia disokong seperti Kunai 3 Gamepad

  • Perisian terbina Game Genie untuk memasukkan input kepada alat kawalan, tidak perlu memuat turun aplikasi pihak ketiga. Tambahan, ia sangat mudah untuk digunakan.


Mungkin ada telefon lain yang turut boleh dijadikan sebagai mesin permainan konsol retro, namun bagi saya ROG Phone 5 lebih lengkap sebagai telefon gaming walaupun pada asalnya ia dihasilkan untuk memainkan permainan Android, bukan permainan konsol.

*Pendapat peribadi penulis

Berkaitan