Bil Elektrik Melambung Tinggi, Aduan Boleh Dibuat Kepada Tribunal Tuntutan Pengguna

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pengguna yang tidak berpuas hati mengenai bil elektrik yang melambung tinggi. Perkara ini juga dikaitkan dengan bil anggaran yang diterima berbanding bil sebenar.



Berikutan itu, pengguna yang tidak berpuas hati boleh memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). TTPM adalah saluran alternatif kepada pengguna untuk membuat tuntutan ganti rugi. Antaranya termasuk berkaitan pembelian barangan atau perkhidmatan dengan kes boleh diselesaikan kurang daripada 60 hari.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu adalah alternatif selain menyalurkan aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga.

“Buka fail di TTPM dengan bayaran fi RM5 dan kes akan diadili sebaiknya,” tambahnya.

Terdahulu, isu kenaikan bil elektrik hangat dibincangkan menerusi media sosial di mana orang ramai tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan terlalu tinggi berbanding sebelumnya.

Sumber: BERNAMA