Bermula Minggu Hadapan, Instagram Akan Mula Paparkan Iklan Di IGTV

Adalah normal jika anda menjumpai iklan ketika melayari Instagram Stories rakan-rakan. Namun untuk IGTV, tiada iklan dijumpai kerana Instagram memang tidak meletakkan elemen pengiklanan di situ. Namun, ini bakal berubah dengan pengumuman terkini pihak Instagram.

Terkini, Instagram telah menyatakan bahawa iklan akan datang dipaparkan di IGTV. Mungkin ia agak menjengkelkan untuk penonton yang melihat, tapi untuk pengkarya yang membuat video IGTV, ini merupakan satu berita gembira dan menarik buat mereka.



Menurut Instagram, mereka akan berkongsi hasil pendapatan iklan sehingga 55% di IGTV sama sepertimana iklan di YouTube berfungsi. Iklan ini mempunyai maksimum 15 saat dan akan dipaparkan bermula minggu hadapan.

Untuk makluman, IGTV membolehkan pengguna Instagram memuat naik video yang berdurasi lama. Pengiklanan IGTV ini sedikit sebanyak memberikan alternatif kepada pengkarya untuk mendapatkan pendapatan sampingan dengan memuat naik video IGTV ketika PKP dan kuarantin ini.

Sumber: Instagram