Berita Baik Bagi Peminat Harry Potter, Permainan Video RPG Siri Popular Berkenaan Sedang Dibangunkan

"Expecto patronum!", "Expelliarmus!", "Riddikulus!"

Peminat Harry Potter pastinya pernah mendengar kata-kata 'jampi' di atas bukan? Tidak lama lagi, mungkin jampi-jampi ini akan digunakan oleh anda sendiri untuk menentang musuh-musuh jahat dalam dunia Hogwarts anda sendiri.

Ini kerana satu permainan video kelas triple-A dikatakan sedang dibangunkan secara senyap-senyap ketika ini. Ia menjadi bualan di internet selepas beberapa video yang didakwa daripada permainan video Harry Potter telah tersebar.

https://twitter.com/Toadsanime/status/1047059440170668032

Kiriman daripada @Toadsanime di atas merupakan potongan daripada video yang tertiris di internet sebelum ini. Namun, video penuh berkenaan telah dibawa keluar oleh pihak Warner Bros. dari laman YouTube.

Salah seorang pengguna laman Reddit yang mengirimkan video tersebut buat kali pertama berkata, dia dan rakannya telah didekati oleh beberapa orang ketika berjalan-jalan di sebuh pusat membeli-belah.

Mereka kemudian menawarkan dia dan rakannya sedikit wang untuk menonton video gameplay sebuah permainan video(Harry Potter) dan diminta untuk memberikan pandangan mengenainya.

Lagi potongan dari video asal (Kredit : The Verge)


Pengguna Reddit itu berjaya menyeludup masuk telefon pintarnya ke dalam bilik tayangan dan merakam video tersebut sebelum memuat-naik di laman Reddit-nya.

Sekiranya ia adalah benar(dan tolonglah ia benar), ini pasti menjadi satu permainan yang akan ditunggu-tunggu oleh ramai pihak terutamanya peminat tegar siri popular berkenaan. Tidak sabar rasanya untuk menjelajah dunia fantasi kegemaran ini nanti.

 

Sumber