Beri Bank Kuasa Percuma, Huawei "Bantu" Bakal Pemilik iPhone Menyelesaikan Masalah Bateri Cepat Habis

Hari ini, iPhone XS dan XS Max mula dijual secara rasmi di Apple Store rasmi di beberapa buah negara, termasuk jiran kita, Singapura. Seperti dijangka, orang ramai terutamanya dari serata Asia Tenggara membanjiri perkarangan kedai di Orchard Road itu sejak semalam lagi.

Bercakap mengenainya, Huawei telah melakukan sesuatu di luar jangkaan apabila "menghadiahkan" bank kuasa kepada mereka yang beratur di sana secara percuma. Ia dibuat bagi membantu bakal pemilik iPhone baru tersebut menyelesaikan masalah bateri peranti yang cepat habis.



Menggunakan slogan "Anda akan perlukannya" pada kotak bank kuasa berkenaan, seramai 200 orang bertuah berjaya mendapatkannya sebelum Huawei kehabisan stok. Perkara ini merupakan satu lagi usikan manja Huawei kepada Apple selepas turut melakukannya pada hari iPhone 2018 diperkenalkan secara rasmi baru-baru ini.



Menurut imej yang dikirimkan di laman Facebook HardwareZone.com, bank kuasa yang diberikan adalah berkapasiti 10,000mAh dan menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge. Bank kuasa yang sama didagangkan pada harga RM 256 di laman Huawei Malaysia.



Perkara ini dijangka menghangatkan lagi arena telefon pintar dunia dan pelancaran Huawei Mate 20 pada pertengahan Oktober ini menjadi semakin menarik untuk dinantikan.

 

Kredit gambar : HardwareZone.com@FB

Sumber : HardwareZone.com@FB