Bellabeat Shell Boleh Mendengar Degupan Jantung Bayi Dalam Kandungan

Mendengar degupan jantung kandungan merupakan perkara yang paling dinantikan oleh pasangan suami isteri. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mengandungkan anak pertama. Lazimnya kita perlu pergi ke klinik ataupun hospital untuk mendengar degupan jantung bayi dalam kandungan. Tetapi kini dengan teknologi dari Bellabeat, pasangan suami isteri boleh mendengarnya dari rumah sahaja.

Bellabeat Shell merupakan sebuah peranti yang dikawal menggunakan aplikasi yang dipasang pada telefon pintar Apple. Di dalam aplikasi yang dipanggil Shell itu terdapat algoritma yang akan menapis bunyi termasuk degupan jantung ibu itu sendiri. Anda akan mendengar degupan jantung kandungan dengan jelas. Si ibu juga boleh merakam bunyi degupan itu untuk disimpan di dalam telefon pintar. Terdapat juga fungsi untuk berkongsi rakaman itu ke rangkaian media sosial seperti Facebook, Twitter, ataupun e-melkan kepada keluarga dan sahabat anda.

Kapsyen: Tiada gelombang yang akan dihantar ke perut ibu, kerana peranti hanya fokus untuk menangkap bunyi sahaja.


Peranti Shell dibina berasaskan bentuk cengkerang yang akan menguatkan bunyi degupan bayi dalam kandungan. Masukkan iPhone anda kedalam peranti Shell, dan letakkan ia rapat ke permukaan kandungan. Bahagian kiri peranti Shell merupakan bahagian yang menangkap gelombang bunyi. Manakala disebelah kanan peranti itu yang berbentuk sedikit melengkung terletaknya speaker yang akan menguatkan bunyi degupan kandungan. Salah satu tips menggunakan peranti ini adalah dengan mendengar degupan jantung anda terlebih dahulu supaya anda dapat merasai perbezaan bunyi yang bakal didengar.

Aplikasi Shell menyediakan sampel degupan jantung bayi, jadi anda boleh tahu bunyi apa yang patut anda dengar. Apabila anda menekan butang 'Hear My Baby' pada aplikasi, peranti akan mula mencari dan merakam degupan jantung. Aplikasi Shell sudah boleh dimuat turun dari Apple Store secara percuma. Bagi peranti pula ia serasi digunakan pada iPhone 6 dan model terkini keluaran Apple. Ia dijual dalam lingkungan harga ~RM299 dan bakal dipasarkan menerusi laman web rasmi Bellabeat bermula pertengahan Disember 2016. Untuk makluman semua, Bellabeat Shell hanya terhad kepada pengguna iPhone sahaja.

[embed]https://www.youtube.com/watch?v=Kcqj2KiD4dU[/embed]