Bekas Pangkalan Tentera Nazi Di Perancis Ini Bakal Diubah Menjadi Pusat Data Awan

Asalnya digunakan sebagai kubu pertahanan pangkalan kapal selam U-Boat Tentera Nazi Jerman pada perang dunia kedua.


Syarikat penyedia pangkalan data dari Belanda, Interxion di dalam perancangan meluaskan lagi pusat data mereka bagi memenuhi kehendak pelanggan yang semakin meningkat.

Mereka yang ketika ini sudah pun memiliki 2 pusat data besar, MRS1 dan MRS2 yang terletak di Marseille, Perancis bakal membuka pula MRS3 di bandar yang sama.

Apa yang menariknya dengan pusat data MRS3 ini adalah, Interxion akan menjadikan bekas kubu pertahanan bagi pangkalan kapal selam U-Boat Tentera Nazi Jerman yang pernah digunakan pada perang dunia kedua sebagai pusat data awan terbaru mereka.

Kapsyen: Rupa luar kubu tersebut: Kredit: Interxion


Pengambil alihan terhadap bekas kubu tersebut adalah sebagai langkah mereka bagi mempercepatkan proses pembangunan bagi menempatkan fasiliti peralatan dan segera menawarkan servis storan awan pada para pelanggan mereka yang kini berjumlah lebih daripada 2000 pelanggan daripada pelbagai syarikat utama dunia.

Kapsyen: Salah satu contoh kubu yang digunakan kapal selam U-Boat tentera Nazi pada perang dunia kedua. Kredit : German U-Boat


Kubu tersebut yang dibina antara tahun 1941 hingga 1944 sebenarnya tidak sempat disiapkan oleh tentera Nazi.

Menurut Pengarah Pusat Urusan Operasi Data Interxion, Fabrice Coquio, pelaburan pengambil alihan yang berjumlah 140 juta Euro terhadap bangunan tinggal tersebut sebagai penting kerana lokasin ya yang strategik.

Sekaligus memberikan peluang yang terbaik kepada mereka dan mengembangkan bisnes dengan cepat dan memberikan perkhidmatan pusat data yang bermutu kepada para pelanggan mereka.

Beliau menambah, MRS3 akan dikhususkan sebagai pusat data awan serta platfom bagi media digital.

Kapsyen: Gambaran lakaran artis apabila pusat data itu siap kelak. Kredit: Interxion


Bandar Marseille memang terkenal sebagai lokasi bagi pelbagai syarikat penyedia pusat data di dunia kerana lokasinya yang strategik. Bandar tersebut telah menjadi lokasi bagi 13 stesen kabel bawah laut yang menghubungkan America Utara, Afrika, Cyprus, Timur Tengah, dan Benua Asia.

Sumber: Ars Techica