Bekas Jurutera Facebook Cipta Fabric - Aplikasi Jurnal Peribadi Automatik







12 Ogos - Seorang bekas jurutera Facebook mencipta aplikasi Fabric, sebuah aplikasi yang didedikasikan untuk merekod memori, aktiviti, video dan gambar, secara automatik untuk menjadi jurnal peribadi pengguna.



Fabric dibangunkan hasil kerjasama Arun Vijayvergiya dan Nikolay Valchavoc; yang kedua-duanya adalah bekas jurutera media sosial gergasi Facebook selama beberapa tahun.



Selepas meninggalkan Facebook, kedua-dua mereka bekerjasama dalam menghasilkan beberapa aplikasi termasuk Fabric.



Arun berkata, projek Fabric terinspirasi apabila dia menerima sebuah buku mengenai ayahnya. Buku itu dipenuhi dengan memori ayah Arun bersama-sama dengan rakan-rakannya. Buku itu mengandungi pelbagai butiran termasuk dimana, siapa dan bila ia direkodkan.



"Bila saya meninggalkan dunia ini, saya mahu meninggalkan satu kisah yang menceritakan kisah hidup saya - bukan untuk semua orang, tetapi untuk orang yang merasa ia penting", kata Arun.



Fabric berfungsi dengan mengambil gambar dari pelbagai sumber termasuk Facebook, Instagram dan kamera, kemudian memadankan mereka di peta. Fabric kemudian menghasilkan garis masa dengan data yang diperoleh itu.