Beberapa Buah Universiti Di A.S Dan U.K Mula Menawarkan Program Ijazah Dalam Bidang E-Sukan

Program ditawarkan pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana.


Beberapa buah universiti di Amerika Syarikat dan United Kingdom dilaporkan telah pun mula menawarkan program Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang e-sukan.

Sebagai contoh, University of Staffordshire di U.K telah pun menawarkan program tersebut sejak tahun lepas lagi. Para pelajar yang mengambil jurusan tersebut secara khusus mempelajari kemahiran pemasaran dan pengurusan dalam bidang e-sukan.

Malah pada tahun ini pula, universiti tersebut telah meluaskan lagi penawaran jurusan tersebut ke bandar London. Kini universiti lain seperti Britain Chichester University, Virginia’s Shenandoah University, Becker College in Massachusetts dan Ohio State University di A.Sjuga telah turut sama menawarkan program tersebut di universiti mereka.

E-sukan yang turut popular di Asia juga telah turut mempengaruhi sekolah-sekolah seperti di China dan Singapura mewujudkan program khusus bagi bidang tersebut.

Berikutan perkembangan itu juga, bulan lalu Persatuan Sukan Elektronik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (ESKL) bersama Majlis Sukan Wilayah Persekutuan kini dalam perancangan memperkenalkan e-sukan sebagai kokurikulum di semua sekolah menengah di Kuala Lumpur.

Perlaksanaan tersebut aakan dibuat menerusi penubuhan kelab-kelab e-sukan dengan tujuan memberi pendedahan serta pemahaman kepada ibu bapa dan pelajar mengenai potensi sukan berasaskan permainan video pada masa depan.

Liga e-sukan yang menjadi fenomena di seluruh dunia kini dilihat sudah mampu menyaingi populariti acara sukan yang lain.

Menurut kajian oleh pihak Newzoo, secara global nilai pasaran e-sukan telah meningkat kepada USD1.1 bilion tahun ini yang terdiri daripada penajaan, jualan tiket pertandingan dan cenderamata.

Sumber: New York Post