Beberapa Aplikasi Gagal Berfungsi Pada iOS Disebabkan Facebook

Kemaskini: Aplikasi-aplikasi yang terlibat sudah boleh diakses semula.

Beberapa aplikasi seperti TikTok, Waze, Spotify dan PUBG Mobile, dikatakan tidak boleh diakses masuk. Permasalahan yang melanda ini hanya terjadi pada peranti yang menjalankan sistem operasi iOS dimana ia kuat dikaitkan dengan isu integrasi antara aplikasi pihak ketiga dengan Facebook SDK. Integrasi tersebut berfungsi untuk membolehkan ciri seperti log masuk akaun, analisis dan sebagainya.



Pengguna boleh membuka aplikasi-aplikasi tersebut, namun ia hanya boleh dilakukan ketika peranti tidak bersambungan dengan internet. Buat masa sekarang aduan hanya melibatkan peranti iOS sahaja dan tidak melibatkan mana-mana peranti Android.

Dalam pada itu, awal hari ini pihak Facebook sudah maklum dengan isu yang timbul ini dan mereka sedang menjalankan siasatan. Ini bukanlah kali pertama Facebook SDK menyebabkan kegagalan aplikasi lain untuk berfungsi dimana ia sudahpun berlaku pada bulan Mei yang lalu.

Sumber: The Verge