Awal pagi ini, akaun verified Twitter dari beberapa organisasi dan individu kenamaan telah digodam. Setiap akaun yang digodam telah memuat naik ciapan yang dipercayai mempromosikan penipuan Bitcoin. Sebelum ianya dipadam oleh pihak Twitter, nampaknya sejumlah wang telah diterima oleh penggodam yang terlibat.
Antara akaun yang telah digodam termasuk Apple, Barack Obama, Elon Musk, Bill Gates, Kanye West, Wiz Khalifa, Joe Biden dan sebagainya.
Berikutan itu, Twitter telah mengambil langkah drastik untuk menghalang akaun yang terlibat untuk memuat naik ciapan. Tidak lama kemudian, Twitter telah membenarkan semula hampir kesemua akaun tersebut untuk memuat naik ciapan.
Bagaimanapun, pasti ada yang tertanya apa sebenarnya yang terjadi. Menurut Twitter,
“We detected what we believe to be a coordinated social engineering attack by people who successfully targeted some of our employees with access to internal systems and tools.”
Akses tersebut telah digunakan untuk mengawal akaun verified dan ciapan mereka. Isu pelanggaran data ini adalah masalah yang besar dan sudah pasti menimbulkan keraguan dalam kalangan pengguna mengenai sistem keselamatan Twitter.
Dalam pada itu, Twitter turut menyatakan siasatan mengenai pelanggaran keselamatan ini masih dijalankan untuk melihat sebarang aktiviti berniat jahat yang lain. Lebih banyak kemas kini juga akan dimaklumkan pada masa akan datang.
Sumber: Twitter Support