Bayaran Penghantar Makanan Foodpanda Ditingkatkan Kepada RM7 Untuk Satu Pesanan Bermula 30 September

Foodpanda baru-baru ini telah mengumumkan skim pembayaran baru bagi semua penghantar makanan mereka di luar Lembah Klang yang berkuatkuasa bermula 30 September 2019.

Syarikat yang menawarkan sistem penghantaran makanan ini mempunyai lebih 12,000 orang penunggang bebas di seluruh Malaysia dan telah menyediakan mereka dengan fleksibiliti untuk memilih waktu dan lokasi di mana mereka ingin bekerja.

Foodpanda akan memastikan terdapat slot yang mencukupi bagi semua penghantar makanan ini untuk mereka pilih melalui sistem kumpulan unik. Sistem ini juga memastikan bahawa penunggang yang ingin bekerja lebih masa mempunyai jumlah penghantaran yang tinggi tersedia untuk mereka dan sebaliknya.



Dalam masa yang sama, sebagai penghantar makanan sambilan yang bekerja dengan Foodpanda, skim yang disemak semula membolehkan penunggang mendapat lebih banyak pendapatan berdasarkan pesanan yang mereka terima.

Syarikat ini juga telah meningkatkan kadar bagi setiap pesanan yang dilakukan oleh penunggang. Sebagai contoh, penunggang kini akan menerima RM7 bagi setiap pesanan berbanding sebelum ini yang hanya dibayar RM5 sahaja.

Penunggang juga diberi insentif dengan bonus RM100 apabila dapat melengkapkan 60 jam seminggu. Di samping itu, penunggang akan menerima tambahan RM1 bagi setiap pesanan di antara jam 11 malam hingga 9 pagi setiap hari.



Foodpanda juga akan memberikan bonus tambahan antara 30 September hingga 6 Oktober apabila mereka menyelesaikan sekurang-kurangnya 80 pesanan dalam tempoh itu.

Foodpanda menganggap penunggang-penunggang ini sebagai pemangku kepentingan utama dalam ekosistem penghantaran makanan. Oleh itu, insurans tersedia dan skim pembayaran yang disemak akan dapat memberi manfaat kepada penunggang. Foodpanda akan terusĀ  cuba untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan serba boleh kepada penunggang yang menghargai gaya hidup yang fleksibel.