ASUS hari ini telah melancarkan barisan ZenBook baharu dimana ia menerima naik taraf yang banyak. Perkara yang menjadi tumpuan adalah kali ini ia tampil dengan panel OLED.
Seperti diketahui, paparan dengan panel OLED mampu memberikan warna dan kecerahan yang lebih baik berbanding IPS LCD.
Terdapat tiga komputer riba ZenBook yang ditawarkan, iaitu:
- ZenBook Flip S OLED (UX371)
- ZenBook Flip OLED (UX363)
- ZenBook Duo 14 (UX482)
ZenBook Flip S OLED
ASUS mendakwa bahawa ini adalah komputer riba dengan panel 4K OLED ternipis di dunia. Skrin berukuran 13.3 inci ini mampu dilipat sehingga 360°.
Dengan resolusi 3840×2160, bezel pada paparannya juga nipis serta menyokong skrin sentuh. Format warna adalah 100% DCI-P3 dan kecerahan sehingga 400 nits.
Antara ciri lain pada paparannya adalah sokongan DisplayHDR 500 dan menerima penarafan PANTONE untuk ketepatan warna dihasilkan.
Di dalam terbina Intel Core i7-1165G7 yang dipadan dengan grafik Intel Iris Xe. Konfigurasi memori pula 16GB RAM (4266MHz) serta storan dalaman 1TB PCIe NVME M.2 SSD.
Komputer riba ini hadir dengan 2 port Thunderbolt 4 USB-C, 1 USB 3.2 Gen 1 dan 1 HDMI. Bateri dilengkapi 67Wh yang didakwa mampu bertahan sehingga 15 jam penggunaan.
Dari segi audio, ASUS memuatkan dwi-pembesar suara yang diperakui sistem Harman Kardon. Turut digandingkan dengan ASUS SonicMaster stereo.
Harga jualan bagi ZenBook Flip S OLED adalah RM6799 yang tersedia hari ini di ASUS e-stores dan pengedar yang sah.
ZenBook Flip OLED
Perbezaan pada komputer riba ini adalah ia merupakan komputer yang menerima penarafan Intel Evo Platform.
Dijana cip Intel Core i7-1165G7 atau Intel Core i5-1135G7 serta digandingkan grafik Intel Iris Xe. Konfigurasi memori hanya 8GB RAM (4266MHz) dan storan dalaman 512GB M.2 NVMe PCIe 3.0 SSD.
Dilengkapi skrin 13.3 inci OLED FHD, kecerahan sehingga 400 nits, tawaran warna 100% DCI-P3, skrin boleh sentuh dan masih menerima penarafan PANTONE.
Spesifikasi lain adalah lebih kurang sama dengan ZenBook Flip S OLED, iaitu 2 port Thunderbolt 4, 1 USB 3.2 dan 1 HDMI. Bersama-sama sistem pembesar suara yang diperakui Harman Kardon.
Dengan bateri dimuatkan 67Wh, komputer riba ini dijual pada harga RM5199 bagi cip Intel Core i7. Manakala, RM4699 untuk model Intel Core i5.
ZenBook Duo 14
ZenBook Duo sudah tidak asing lagi dalam kalangan pengguna profesional kerana seperti namanya, ia tampil dengan dua skrin.
Skrin utama berukuran 14 inci beresolusi FHD dan boleh sentuh. Hadir dengan panel anti-silau, penarafan PANTONE dan warna 100% sRGB. Skrin keduanya pula bersaiz 12.6 inci dengan sokongan paparan sentuh.
Di dalam terbina cip Intel Core i7-1165G7 atau Intel Core i5-1135G7 bersama grafik NVIDIA MX450 2GB. Konfigurasi memori pula sama ada 16GB RAM atau 8GB RAM dengan storan dalaman 512GB M.2 NVMe PCIe 3.0 SSD.
Melengkapkannya, 2 port Thunderbolt 4, 1 USB 3.2 Gen 1, 1 HDMI, 1 bicu audio dan 1 slot mikroSD. Sistem audio juga diperakui Harman Kardon serta hadir dengan smart amplifier.
ZenBook Duo 14 ini dijual dengan harga RM6499 bagi Intel Core i7 sementara RM5499 untuk Intel Core i5.
Kesemua barisan komputer riba ZenBook akan mula dijual bermula hari ini, 12 Mac di gedung dalam talian ASUS atau pengedar yang sah.
Sumber: Siaran Akhbar ASUS