Bantuan Kelengkapan Perubatan Oleh Yayasan Alibaba Dan Jack Ma Tiba Di Malaysia

Dua penerbangan kargo yang membawa sumbangan kelengkapan perubatan daripada Yayasan Alibaba dan Jack Ma bagi membantu negara dalam memerangi penularan COVID-19 telah tiba di Malaysia, 25 Mac lalu.

Menurut laporan, pesawat Malaysia Airlines tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan membawa penutup mulut dan hidung, kit ujian, kelengkapan perlindungan diri untuk badan dan muka. Bantuan tersebut diterima oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dipertanggungjawabkan untuk mengedar bekalan tersebut.

Sumbangan daripada dua yayasan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow kepada Timbalan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus.

[embed]https://twitter.com/MY_Airports/status/1243021036863381504[/embed]

Terdahulu, kedua-dua yayasan itu berkata penghantaran tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif bantuan yang telah dijanjikan pada 19 Mac ke empat negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Sejumlah dua juta topeng muka, kit ujian bagi menguji 150,000 orang, 20,000 sut perlindungan dan 20,000 pelindung muka tersebut akan dibahagikan kepada empat negara ini.

Sumbangan yang diberikan ini adalah sebahagian daripada inisiatif bantuan Alibaba Foundation dan Jack Ma Foundation untuk menyokong negara-negara di dunia yang paling terjejas dengan krisis COVID-19.

Sumber: BERNAMA