Bank Maya Pertama Diramal Diperkenalkan Di Malaysia Pada Suku Ketiga Tahun Hadapan

Bank maya atau bank neo merupakan sebuah perkhidmatan perbankan digital yang wujud tanpa sebarang cawangan fizikal dan urusan hanya dilakukan secara mudah alih menerusi internet.

Menggarap laporan daripada Bernama, Malaysia dijangka memperkenalkan perbankan maya seawal suku ketiga tahun 2020, susulan pengumuman Bank Negara Malaysia mengenai keperluan mengeluarkan lesen perbankan maya menjelang akhir tahun ini.

Menurut kiriman e-mel Persatuan Fintech Malaysia (FAOM) kepada Bernama, mengambil kira aspek kematangan, pemahaman teknologi perbankan serta kemampuan bakat Fintech Malaysia, sudah tiba masanya BNM mengambil langkah tersebut yang mana ia boleh menjadi pemangkin kepada ekonomi digital negara.

Berdasarkan faktor kecekapan kos, fleksibiliti dan kepantasan, perbankan maya ini disasarkan kepada syarikat multinasional, serta perusahaan kecil dan sederhana.

Walaupunbegitu, sasaran utama perbankan maya adalah golongan milenial yang cekap teknologi seiring dengan gaya hidup moden mereka.

Dalam laporan yang sama, Pengarah Urusan Frost and Sullivan Malaysia, Hazmi Yusof menyatakan kewujudan perbankan maya tidak dapat dielakkan. Hal ini kerana, ia akan meningkatkan persaingan dalam industri perbankan runcit tradisional serta langkah pengurangan kos seperti cawangan dan tenaga kerja oleh peserta perbankan.

Dilihat sejak beberapa tahun lepas, bank-bank di Malaysia seperti CIMB dan Maybank sudah menutup dan mengurangkan jumlah cawangan mereka bagi menumpukan kepada perkhidmatan digital.

Dari segi keselamatan siber, ia dilihat mampu merancakkan lagi peserta industri dimana ia dinyatakan mampu memangkin kelajuan internet dan pengurusan risiko melibatkan keselematan siber serta privasi data.

Ini merupakan perkembangan menarik bagi perkhidmatan perbankan tempatan. Bagi pelanggan yang gemar membuat urusan dikaunter boleh kekal dengan perbankan tradisional disamping mempunyai pilihan untuk urusan secara mudah alih atau internet, sementara yang mahu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi, perbankan maya mungkin menjadi pilihan.

Sumber: Bernama

Sumber foto utama: Medium