Axiom Space Dengan Kerjasama SpaceX Akan Bawa 3 "Pelancong" Ke Angkasa

Axiom Space sedang mencari tiga orang angkasawan persendirian untuk ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan harga $55 juta (~RM230 juta). Jika mempunyai wang sebanyak itu, anda mungkin boleh menyertai pelancongan ke angkasa ini.

Syarikat yang berpangkalan di Houston ini, telah menandatangani kontrak dengan SpaceX untuk penerbangan Crew Dragon yang akan membawa pelatih Axiom bersama tiga penumpang ke ISS.

Misi ini dijangka akan dilancarkan separuh kedua tahun 2021 dan akan membenarkan tiga penumpang berada di ISS untuk, merasai pengalaman mikrograviti dan pemandangan Bumi di stesen angkasa selama 8 hari.



Ketua Eksekutif syarikat itu, Michael Suffredini berkata, misi ini adalah perkembangan dari tugasnya sebelum ini sebagai pengurus ISS di NASA. Axiom bakal menawarkan penumpang dua penerbangan setahun, selaras dengan jadual yang disediakan oleh NASA, sambil membina stesen angkasa yang dibiayai sendiri.

Selain itu, syarikat tersebut menyatakan akan menyediakan semua latihan, rancangan, perkakasan, alat bantuan pernafasan, sokongan kesihatan, sijil keselamatan, peruntukan kru dan operasi orbit untuk mereka yang bersedia pergi ke ruang angkasa.

Misi Axiom Space ini boleh menjadi penerbangan orbit pertama bersama penumpang tanpa melibatkan agensi ruang angkasa kerajaan.

Sumber: TechCrunch