Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Android Longkong_ Fake Bank Login Alert

Awas, Malware LongKong Aktif Sasar Pengguna Android Malaysia, Mampu Curi Maklumat Perbankan

Diterbitkan Oktober 20, 2026 oleh salor30

Pusat Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) mengeluarkan amaran berhubung satu aktiviti penyebaran perisian hasad (malware) yang kini sedang aktif menyasarkan pengguna Android di Malaysia.

Malware yang dikenal pasti sebagai varian LongKong Android Remote Access Trojan (RAT) itu dilaporkan mempunyai keupayaan mengawal peranti mangsa dari jarak jauh, mencuri maklumat perbankan dan melakukan transaksi tanpa pengetahuan mangsa.

Menurut MyCERT, malware berkenaan disebarkan melalui aplikasi Android palsu yang dipromosikan menerusi iklan media sosial dan pautan WhatsApp.

Lebih licik lagi, aplikasi tersebut menggunakan pelbagai taktik untuk memperdaya mangsa; termasuk tawaran kerja sambilan, pembelian barangan secara tunai ketika penghantaran (COD), perkhidmatan penghantaran, pinjaman serta aplikasi pembaca PDF.

Mangsa kemudiannya diperdaya untuk memuat turun dan memasang aplikasi Android melalui fail APK daripada sumber tidak rasmi, iaitu kaedah yang dikenali sebagai sideloading. Aplikasi palsu tersebut seterusnya memasang malware pada peranti mangsa.

Sembilan Nama Aplikasi Palsu Yang Dikesan

Menerusi laporan keselamatannya, MyCERT menyenaraikan sembilan nama aplikasi yang dikenal pasti digunakan sebagai umpan dalam aktiviti serangan tersebut antara Julai hingga September 2026.

Screenshot 2026-10-20 at 3.24.23 PM
Sembilan entri nama aplikasi palsu yang dikesan digunakan dalam aktiviti penyebaran malware LongKong. (Sumber: MyCERT)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

MyCERT turut menjelaskan bahawa penyerang boleh menukar nama dan identiti aplikasi dari semasa ke semasa. Oleh itu, pengguna tidak seharusnya bergantung kepada senarai nama aplikasi semata-mata untuk mengenal pasti ancaman.

Mampu Mengawal Telefon Dan Mencuri PIN Perbankan

Selepas aplikasi palsu dipasang, mangsa akan diminta mengaktifkan kebenaran Accessibility atas alasan seperti pengesahan peranti atau melengkapkan proses pemasangan.

Kebenaran ini kemudiannya disalahgunakan untuk membaca paparan skrin, menekan butang dan mengawal aplikasi yang digunakan mangsa. Apabila mangsa membuka aplikasi perbankan, malware LongKong ini boleh memaparkan skrin log masuk palsu yang menyerupai paparan sebenar aplikasi bank.

Melalui kaedah tersebut, penyerang boleh mencuri nama pengguna, kata laluan dan PIN transaksi.

Malah, malware ini turut mempunyai keupayaan membaca mesej SMS, mengakses fail, mendapatkan lokasi GPS serta mengawal kamera peranti.

Lebih membimbangkan, penyerang turut boleh menggunakan telefon mangsa sendiri untuk memulakan dan meluluskan transaksi perbankan tanpa pengetahuan pemiliknya.

Pengguna Android Dinasihatkan Berwaspada

Sehubungan itu, MyCERT menasihatkan pengguna supaya hanya memasang aplikasi daripada Google Play Store atau kedai aplikasi rasmi pengeluar peranti. Pengguna juga dinasihatkan agar tidak memberikan kebenaran Accessibility, Device Administrator atau Display over other apps kepada aplikasi yang tidak dikenali.

Menurut MyCERT juga, aktiviti serangan ini masih aktif ketika laporan keselamatan tersebut diterbitkan.

Sekiranya pengguna pernah memasang aplikasi palsu yang disenaraikan, MyCERT menasihatkan mereka supaya menggunakan peranti lain yang selamat untuk menukar maklumat log masuk perbankan, menyemak transaksi dan segera menghubungi pihak bank.

Sumber: MyCERT — LongKong Android Banking Trojan Advisory (MA-1482.102026).

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Microsoft Sahkan Gangguan Global Berakhir, Perkhidmatan Kembali Pulih
  • Laptop Kita Selangor: 150 Komputer Riba Untuk Setiap DUN
  • Selangor Tawar Akses Gemini Enterprise Setahun Kepada 50,000 Rakyat
  • Tambah Kad HLB Visa Ke Apple Pay, Pengguna Baharu Berpeluang Dapat 'Cashback'
  • MITI Nafi Luluskan Megaspeed Dan Speedmatrix, Siasat Kemungkinan Cip AI Dieksport Semula
  • CelcomDigi Tawar Pas Penstriman Serendah RM1, Termasuk Akses EPL Untuk Pengguna Prabayar
  • Microsoft Outlook Alami Gangguan Global, Teams Dan Copilot Turut Terjejas
  • Google Search Terima Naik Taraf Dengan Gemini 4 Hydrogen - Lebih Faham Soalan Kompleks, Jawapan Lebih Visual
©2026 WISER.MY