Awas Jika Anda Menerima Pesanan Untuk Menaiktaraf Aplikasi WhatsApp, Telefon Anda Mungkin Akan Digodam

Aplikasi permesejan percuma, WhatsApp kian menjadi popular ketika ini. Buktinya, ia mempunyai sejumlah 1.5 billion pengguna aktif setiap bulan.

Walaupun ia satu petanda yang baik, populariti ini juga menjadi antara daya tarikan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjalankan anasir jahat mereka.

Baru-baru ini, pengguna WhatsApp digemparkan sekali lagi dengan berita kembalinya virus WhatsApp Gold.

Kapsyen: 2-Spyware


Virus ini disebarkan melalui mesej spam dimana anda akan diminta untuk menaiktaraf WhatsApp anda kepada WhatsApp Gold dengan klik pautan yang ada pada mesej berkenaan.

Pengguna akan dijanjikan dengan pelbagai fungsi menarik yang didakwa hanya boleh dilakukan oleh pengguna WhatsApp versi premium sahaja.

Hakikatnya, jika anda klik pada pautan tersebut, peranti anda mungkin akan diserang virus malware atau lebih teruk lagi, digodam.

Untuk pengetahuan anda, WhatsApp yang digunakan kita pada hari ini adalah satu-satunya versi WhatsApp yang sah. Tiada versi premium kerana WhatsApp sememangnya aplikasi percuma untuk digunakan.

Walaupun virus ini dikatakan hanya tersebar secara meluas di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah sahaja ketika ini, kita perlulah sentiasa berjaga-jaga agar tiada perkara tidak diingini berlaku pada peranti milik kita kelak.

Kapsyen: myLot


Virus WhatsApp Gold telah menjadi tular buat kali pertama pada tahun 2017 bersama dengan satu lagi virus yang dikenali sebagai video "martinelli".

Video martinelli itu telah dianggap sebagai virus penipuan, namun status kebenaran virus WhatsApp Gold ini masih belum dapat dipastikan sehingga kini.

 

Sumber: Express   Independent