Avengers : Infinity War Pada Komputer Riba Edisi Istimewa Acer

Tiga adiwira dalam filem Avengers : Infinity War telah tiba di negara ini dalam bentuk komputer riba keluaran Acer. Acer telah melancarkan versi keluaran istimewa bagi tiga jenis komputer ribanya iaitu Nitro 5, Swift 3 dan Aspire 6. Majlis pelancaran peranti ini telah berlangsung pada 18 April di Petaling Jaya.

Acer Nitro 5, sebuah komputer riba yang mempunyai skrin bersaiz 15.6 inci dengan paparan definisi tinggi penuh 1080p akan menggunakan tema Thanos, watak antagonis utama dalam siri terbaru Avengers ini. Komputer riba ini akan menggunakan cip pemprosesan Intel Core i5-7300HQ dengan memori 8  DDR4 selain NVIDIA GeForce GTX 1050 GPU. Bagi ruang simpanan pula, ia mempunyai 128 GB storan SSD serta 1 TB bagi ruang simpanan HHD. Acer Nitro 5 Edisi Thanos ini boleh didapati dengan harga sekitar RM 4,299.

 



Watak adiwira yang dilakonkan oleh Robert Downey Jr., Iron Man pula bakal menghiasi komputer riba Acer Swift 3. Dengan terdapatnya The Arc Reactor pada bahagian belakang skrin yang menyala, komputer riba ini dijangka akan menarik perhatian ramai. Dilengkapi dengan Intel Core i5-8250U bersama 8GB memori serta menggunakan NVIDIA GeForce MX150 GPU serta warna merah yang menawan akan menonjolkan lagi ciri watak Iron Man pada peranti ini. Selain itu, ia juga mempunyai kapasiti simpanan 256 GB SDD serta boleh dibeli dengan harga sekitar RM 4,399.



Seterusnya, bagi komputer riba Acer Aspire 6 pula, peranti berkenaan akan menggunakan watak Captain America sebagai tema. Aspire 6 yang merupakan komputer riba terbaru dari Acer yang tiba di negara ini mempunyai logo bintang 'The Star' yang menjadi simbol watak tersebut. Ia akan menggunakan cip pemproses Intel Core i5-8250U, NVIDIA GeForce MX150,  4GB DDR4 RAM serta ruang simpanan 1TB SATA HDD. Harga jualan yang dicadangkan bagi peranti ini ialah RM 3,299.



Kesemua komputer riba ini boleh didapati dari pengedar-pengedar sah Acer di seluruh negara dan bagi mereka yang membeli komputer riba ini sebelum 30 Jun, mereka berpeluang untuk mendapat thumbdrive Avengers 16 GB beserta beg galas premium Acer sementara stok masih ada. Pihak Acer Malaysia juga mengesahkan bahawa ketiga-tiga peranti ini akan dijual secara atas talian di Shopee, Lazada serta 11 Street.

Sumber