Avengers: Endgame Akhirnya Berjaya Merampas Takhta Filem Avatar

Filem adiwira Marvel itu berjaya mengatasi rekod kutipan filem Avatar yang dipegang sejak 2009.


Selepas 10 tahun memegang rekod sebagai filem dengan kutipan tertinggi di dunia, filem Avatar  akhirnya terpaksa mengalah dengan rekod baru kutipan yang berjaya dicapai oleh filem Avengers: Endgame semalam.

Sejak Avengers: Endgame mula ditayangkan dalam bulan April lalu, ia telah pun berjaya memecahkan rekod-rekod lain yang dipegang dari filem-filem terdahulu. Setakat bulan Mei lalu, tayangan filem tersebut telah pun berjaya membuat kutipan sehingga USD2 bilion, sekaligus menjadikannya filem kedua dengan rekod kutipan tertinggi di dunia.

Walaubagaimanapun, ia masih belum berjaya mengatasi rekod kutipan yang dipegang filem Avatar yang berjumlah USD2,789,700,000.

Dalam usaha untuk mengatasi rekod kutipan tersebut, pihak Marvel telah sekali lagi melancarkan tayangan khas Avengers: Endgame di seluruh dunia (pada beberapa pawagam terpilih) bermula 29 Jun lalu.

Tayangan khas tersebut mengandungi futej tambahan yang dimasukkan pada pengakhiran filem tersebut. Usaha Marvel itu akhirnya telah membuahkan hasil dan berjaya mendorong para peminat tegar mereka untuk menonton kembali filem tersebut di pawagam.

Setakat semakan yang dibuat di laman Box Office Mojo hari ini, kutipan terkumpul filem Avengers: Endgame adalah sebanyak USD2,790,216,193, sekaligus mengatasi rekod kutipan filem Avatar yang berjumlah USD2,789,700,000.

Kini secara rasminya bermula Julai 2019, filem Avengers: Endgame kini adalah pemegang takhta terbaru sebagai filem dengan rekod kutipan tertinggi di dunia.