ASUS Zenfone Max Pro M1 - Raja Peranti Gaming Bajet

Dua tiga tahun kebelakangan ini, kita dapat saksikan bahawa industri permainan video mudah alih semakin meningkat naik dan telefon pintar merupakan salah satu platform paling popular bagi penggemar permainan video mudah alih berbanding konsol seperti PS Vita dan Nintendo Switch. Akan tetapi, kapasiti bateri yang kecil menjadi antara masalah utama bagi peranti telefon pintar ini.

Bagaimana kalau kami cakap yang sekarang sudah ada sebuah telefon pintar yang mempunyai kapasiti kuasa yang sama dengan powerbank di luar sana? Kali ini, kami telah diberi peluang untuk mencuba sendiri peranti keluaran terbaru ASUS Zenfone Max Pro M1 yang mempunyai kapasiti bateri 5,000 mAh. Untuk maklumat anda, peranti ini hadir dengan 3 variasi RAM iaitu 3GB RAM/32GB ROM, 4GB RAM/64GB ROM dan 6GB RAM/64GB ROM. Model yang kami terima adalah pada variasi 3GB RAM.

1.Rekaan Luaran (6.8/10)



Zenfone Max Pro M1 ini mempunyai keluasan skrin pada 5.99 inci, ketinggian 15.9 cm serta lebar 7.6 cm yang menyebabkan agak sukar untuk mengendalikannya dengan sebelah tangan.

Peranti ini hadir dengan dua pilihan warna sahaja iaitu hitam dan kelabu dan peranti yang ada pada kami ialah berwarna hitam, namun pada amatan kami, warna peranti ini agak kebiruan sedikit. Pada kami ianya bukanlah peranti paling cantik di pasaran ketika ini. Zenfone Max Pro kami lihat sesuai kepada pengguna yang sukakan gaming tanpa menghiraukan rupa paras peranti.



Dengan berat sekitar 180 gram dan 8.5 mm ketebalan, boleh kami katakan ASUS telah melakukan tugas yang amat baik dalam memastikan Zenfone Max Pro M1 ini tidak terlalu berat dan tebal walaupun mempunyai bateri berkapasiti 5,000 mAh.

Pada bahagian paparan hadapan peranti, peranti ini merupakan antara beberapa peranti Android yang tidak menggunakan reka bentuk takuk. Walaupun pada mulanya rekaan takuk ini hanya digunapakai pada peranti kelas perdana sahaja, sejak kebelakangan ini beberapa peranti kelas pertengahan turut menggunakannya.



ASUS Zenfone Max Pro M1 ini menggunakan skrin IPS LCD dengan resolusi FHD+ yang memberikan paparan yang jelas semasa penggunaan terutamanya ketika menonton video dan bermain permainan video. Paparan ketika berada di kawasan outdoor juga adalah memuaskan.

Peranti ini turut mempunyai sokongan bicu audio 3.5 mm serta pot pengecasan mikroUSB pada bahagian bawah peranti. Manakala di bahagian panel belakang pula, reka bentuk peranti ini agak minimal. Kamera utama dwi-lensanya terletak di bahagian sudut atas kiri peranti, logo ASUS di bahagian tengah serta pengimbas cap jari berada di atas logo.

2. Antaramuka (9.0/10)

ASUS Zenfone Max Pro M1 kali ini agak berbeza dengan model peranti Zenfone sebelum ini apabila ia tidak lagi menggunakan antaramuka ZenUI. Sebaliknya, peranti ini hadir dengan pengisian asli daripada Google melalui Android 8.1 Oreo, walaupun tidak terlibat dalam penggunaan Android One.



Seperti yang dapat dilihat, paparan pada Home Screen peranti ini kelihatan sangat ringks dengan aplikasi tambahan daripada pihak ASUS adalah sangat sedikit. Butang navigasi pada bawah skrin juga nampak lebih minimalis, sama seperti yang digunapakai pada peranti Honor 10.

Pengguna boleh swipe dari atas ke bawah untuk mengakses notifikasi dan control center manakala swipe dari bawah ke atas untuk mengakses app drawer. Walaupun tidak menggunakan antaramuka ZenUI, ciri-ciri ZenMotion tetap boleh digunakan pada peranti ini.

Antaranya, anda boleh mengaktifkan skrin atay menyah-aktifkan paparan skrin dengan mengetuk skrin menggunakan jari anda sebanyak dua kali. Aplikasi asas Google seperti Google Message , Clock dan Google Calendar juga boleh didapati pada peranti ini.

3. Spesifikasi Dalaman (7.9/10)



Peranti Zenfone Max Pro M1 ini menggunakan cip kelas pertengahan terpantas daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 636 di mana ia membantu mengoptimumkan penjimatan kuasa peranti sambil memastikan peranti tetap beroperasi di tahap terbaik.

Dengan sokongan unit pemprosesan grafik Adreno 509, Zenfone Max Pro M1 dapat menjalankan permainan seperti Mobile Legends dan Asphalt 8 tanpa sebarang masalah. Untuk permainan PUBG Mobile, peranti ini hanya mampu menyokong tetapan grafik sederhana untuk bermain tanpa sebarang lag.

Dengan memori 3GB RAM dan 32BG ROM, kami dapati prestasi semasa melayari laman sosial seperti Facebook dan Instagram berada pada tahap yang sangat baik. Semestinya, ia juga dibantu oleh penggunaan Android asli pada peranti ini.

Sekiranya ruang simpanan dalaman sedia ada tidak mencukupi, pengguna boleh memasang kad mikroSD pada slot tersendiri yang disediakan. Dari segi sokongan sambungan pula, peranti ini menyokong fungsi sambungan 4G pada kedua-dua slot kad sim yang dimiliki.



Kapasiti bateri merupakan salah satu kelebihan utama yang terdapat pada ASUS Zenfone Max Pro M1 ini. Dengan kapasiti bateri sebesar 5,000 mAh, peranti ini boleh bertahan sehingga 48 jam dengan penggunaan berat tanpa masalah. Kapasiti kuasa ini adalah menyamai kapasiti yang ada pada sebahagian powerbank yang terjual di pasaran.

Setelah kami mencuba permainan PUBG Mobile menggunakan Zenfone Max Pro M1 ini, kami dapati tahap kuasa bateri cuma berkurang sebanyak 17% sahaja selepas satu jam waktu permainan. Bagi pengecasan pula, peranti ini akan menyokong fungsi pengecasan pantas dengan penggunaan kabel mikroUSB 2.0. Peranti ini cuma mengambil masa 2 jam 30 minit sahaja untuk dicas penuh dari tahap kuasa bateri 0%. Untuk kapasiti bateri 5,000 mAh, kami berpendapat ianya sudah cukup pantas.

4. Kamera (6.7/10)



Dari segi kameranya pula, ASUS Zenfone Max Pro M1 mempunyai kamera dwi-lensa yang menggabungkan lensa 13 MP (f/2.2, 1.12µm) + 5 MP (f/2.4, 1.12µm) pada kamera utama dan 8 MP (f/2.2, 1.0µm) pada kamera hadapan. Sebagai maklumat tambahan, model 6GB RAM mempunyai kamera yang lebih baik iaitu 16 MP + 5 MP sebagai kamera utama dan kamera hadapan pula menggunapakai lensa 16 MP.



Salah satu perkara menarik mengenai antaramuka ZenUI ialah pada kameranya. Antaramuka kamera bagi peranti ini tidak lagi menggunakan antaramuka Zenfone Camera, tetapi Zenfone Max Pro M1 menggunapakai fungsi Snapdragon Camera. Namun, antaramuka pada Snapdragon Camera ini nampak sangat ringkas tetapi ianya dilihat memberikan kawalan penggunaan yang lebih menyeluruh.



Apa yang kami dapat perhatikan pada Snapdragon Camera ini ialah fungsi auto-fokusnya sangat pantas. Kamera ini akan mengfokuskan kepada objek dalam foto dengan sendiri melainkan anda menyentuh paparan skrin untuk memberi fokus kepada satu kawasan tertentu.





Manakala dari segi kualiti imejnya pula, boleh kami katakan bahawa prestasi kamera utama peranti ini mencapai standard yang kami sasarkan. Walaupun ia bukanlah pada tahap terbaik, namun prestasinya adalah bersesuaian dengan reputasinya sebagai sebuah peranti kelas pertengahan.







Kualiti gambar yang diambil semasa suasana kurang cahaya pada penilaian kami berada pada tahap yang sederhana. Ini kerana jika gambar ditangkap menggunakan mod Auto, noise kelihatan agak kasar dan imej akan kelihatan sedikit kabur pada kawasan yang tertentu.





Rakaman video melalui kamera utama peranti ini adalah agak baik. Video yang dirakam kelihatan lancar dan jelas, namun sekiranya anda merakam menggunakan tangan kosong, gegaran pada video adalah jelas kelihatan. Ia kerana peranti ini tidak disokong oleh sebarang teknologi penstabilan imej.

Berkenaan dengan keupayaan kamera hadapan Zenfone Max Pro M1 ini pula, kami dapati ia dapat mengambilkan imej yang cantik semasa pengcahayaan yang baik. Fungsi bokehnya juga adalah memuaskan. Akan tetapi ketika pengcahayaan rendah, imej yang diambil juga adalah agak berkualiti.


Swafoto semasa pengcahayaan normal



Swafoto pada pengcahayaan rendah


5. Sistem Nyahkunci (6.6/10)



ASUS Zenfone Max Pro M1 ini hadir dengan dua pilihan keselamatan untuk menyahkunci peranti iaitu melalui imbasan cap jari dan pengesan wajah. Kedua-duanya berfungsi dengan baik dan ianya bukanlah antara peranti dengan sistem nyah kunci terpantas di pasaran ketika ini. Anda juga dinasihatkan untuk menggunakan imbasan cap jari pada waktu malam kerana pengesan wajah tidak berfungsi seperti biasa semasa cahaya rendah.

Keseluruhan (7.4/10)



Dengan tanda harga serendah RM 699, mudah untuk kami katakan peranti ini adalah antara yang terbaik bagi kumpulan harga berkenaan pada masa kini. ASUS telah melakukan satu tugasan yang cemerlang dalam memastikan peranti ini dapat mencapai kualiti yang maksima pada harga berkenaan. Dengan bateri sebesar 5,000 mAh dan penggunaan sistem operasi Android asli, tidak banyak lagi yang boleh kita harapkan pada peranti ini. Mungkin kualiti kameranya adalah sederhana, tetapi untuk liga peranti pertengahan, kami boleh katakan ianya berada dalam kelompok teratas.