Asus Zenfone 5Z Diperkenalkan Di India Dengan Harga Serendah RM 1,760

Pada minggu lepas, kami telah melaporkan bahawa peranti kelas perdana terbaru dari Asus, Zenfone 5Z akan mula berada di pasaran India pada 4 Julai ini. Sehubungan dengan itu, peranti tersebut telah pun mula disenaraikan di pasaran Flipkart dengan harga serendah 29999 INR(~RM 1,760) untuk variasi 6GB RAM + 64GB ROM.


Kredit : Android Authority


Asus Zenfone 5Z akan menggunakan cip pemprosesan kelas perdana daripada Qualcomm Snapdragon 845 dengan tiga pilihan variasi iaitu 6GB RAM + 64GB ROM, 6GB RAM + 128GB ROM dan 8GB RAM + 256GB ROM. Harga jualan bagi variasi 128GB ialah 32999 INR(~RM 1,935) manakala 36999 INR(~RM 2,170) untuk model 256GB.

Peranti ini akan menggunakan skrin jenis IPS LCD bersaiz 6.2 inci dengan resolusi FHD+. Dari segi baterinya pula, ia bakal dijana dengan bateri berkapasiti 3,300 mAh. Ia juga akan menyokong fungsi pengecasan pantas.

Kamera utama peranti ini akan menggabungkan lensa 12MP f/1.8 dan 8MP f/2.0, manakala kamera hadapannya pula menggunakan lensa 8MP f/2.0. Zenfone 5Z ini akan hadir dengan dua pilihan warna iaitu Meteor Silver dan Midnight Blue.



Setakat ini Asus Malaysia masih lagi belum mengumumkan tarikh rasmi pelancaran peranti ini buat pasaran tempatan. Namun dengan harga sebegini buat pasaran India, kita boleh menjangkakan harga yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia juga tidak jauh berbeza walaupun akan sedikit tinggi.

Sumber