ASUS Umum Aksesori Gaming ROG Untuk Peranti Pintar

Selain peranti gaming ROG Phone 3 yang terbaharu, ASUS turut mengumumkan aksesori berjenama yang sama juga. Terdapat 3 perkakas yang diperkenalkan iaitu ROG Cetra RGB, ROG Strix XG16 dan ROX Falchion yang boleh digunakan sebagai memaksimumkan lagi pengalaman gaming pada peranti pintar.

ROG Cetra RGB


ROG Cetra RGB merupakan fon telinga yang menyokong pelbagai platform termasuklah peranti pintar, PC, Mac, dan Nintendo Switch. Ia disambungkan melalui kabel USB-C dan turut mempunyai pembatalan aktif hingar (ANC) serta mod Ambient untuk pengalaman gaming lebih imersif.



Dari segi audio, terdapat pemacu bersaiz 10mm. Tambahan, pengguna mempunyai pilihan sehingga 3 saiz silikon telinga dan cangkuk yang lebih selesa mengikut kepada keperluan.

Juga terdapat pencahayaan RGB pada bahagian luar fon telinga yang membantu meningkatkan lagi keberanian melawan musuh ketika bermain permainan.

ROG Strix XG16


ROG Strix XG16 merupakan sebuah monitor mudah alih bersaiz 15.6 inci dengan bateri terbina. Ia mempunyai resolusi 1080p, berpanelkan IPS dan menyokong sehingga 144Hz.



Dari segi I/O, terdapat 2 USB-C serta satu micro HDMI. Ia juga mempunyai kickstand terbina yang boleh dibuka seluas 70° untuk mendirikannnya di atas permukaan rata secara melintang atau potret.

ROG Falchion


ROG Falchion adalah sebuah papan kekunci mekanikal yang bersaiz 65%. Ini bermakna ia adalah sedikit lebih kecil berbanding kebanyakan saiz papan kekunci biasa.



Pada bahagian kiri papan kekunci, terdapat panel sentuh interaktif yang boleh digunakan untuk melaraskan bunyi, main atau hentikan muzik, serta zumkan kandungan dalam skrin. Ia juga boleh berfungsi sebagai butang makro yang boleh diprogramkan sesuka hati.

ROG Falchion juga merupakan papan kekunci tanpa wayar. Ia disambungkan melalui rangkaian 2.4GHz dengan sambungan sepantas 1ms. Untuk jangka hayat, ia menawarkan sesi permainan selama 400 jam.