ASUS Republic of Gamers hari ini mengumumkan kolaborasi terbaru mereka dengan jenama pakaian ACRONYM(R) dalam menghasilkan komputer riba gaming edisi khas ROG Zephyrus G14.

Rekaan komputer riba ini adalah berdasarkan konsep dan visi Errolson Hugh iaitu “more empowered user: not just a gamer, but a thinker and a creator”. Komputer riba ini akan mula dipasarkan di Malaysia bermula bulan Oktober 2020.

Bagi anda yang tidak tahu, ACRONYM(R) telah menjadi pelopor dalam industri pakaian teknikal sejak syarikat itu ditubuhkan pada tahun 1994. Agensi mereka telah membina portfolio reka bentuk yang luas sama ada dalam merancang barisan produk Nike dan Arc’Teryx, peralatan permainan video maya untuk Square Enix/EIDOS atau membuat pakaian mereka sendiri.

IKLAN

Selain itu, ASUS ROG sangat komited untuk membuat perkakasan permainan premium yang cukup berkuasa untuk kerja dan permainan sehingga peringkat profesional.

ROG Zephyrus G14 ACRNM RMT01 dibina dengan ciri-ciri visual yang berbeza. Ia menggunakan bahan khas, pengukiran, pemesinan dan warna yang dibangunkan khas. Rekaan komputer riba ini mempunyai butiran yang sangat terperinci malah AniMe Matrix juga dilengkapi dengan 8 animasi rekaan ACRONYM yang eksklusif.

Untuk imbas kembali, ROG Zephyrus G14 merupakan komputer riba gaming nipis berkuasa yang dimuatkan dengan cip AMD siri 4000 Ryzen. Namun, komputer riba edisi khas ini lebih berkuasa kerana ia hanya hadir dengan satu varian iaitu G14 ACRNM dijana dengan cip AMD Ryzen 9 4900HS.

Ia menggunakan kad grafik Nvidia RTX 2060 Max-Q. Paparan pada komputer riba ini menggunakan panel IPS WQHD (2560×1440) 14 inci dengan kadar segar semula 60Hz. Tambahan lagi, RAM adalah 16GB+16GB dan storan sebesar 1TB PCIe NVMe SSD.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan komputer riba gaming edisi khas ini, ia akan dijual mulai bulan Oktober dan pra-tempah boleh dibuat sekarang. Komputer riba ini dijual pada harga RM 11,299.