ASUS ROG Zephyrus Duo 15 SE - Dijana Cip Ryzen 9 5900HX Dengan Dua Skrin

Melalui acara CES 2021 awal pagi tadi, ASUS telah mengumumkan beberapa produk baharu mereka yang dikemaskini terutama barisan komputer riba gaming.

Kini, ASUS tampil dengan ROG Zephyrus Duo 15 SE iaitu komputer riba edisi khas yang dikuasakan cip AMD Ryzen siri 5000 dan dipadankan kad grafik Nvidia RTX 30.



Nampaknya kali ini ASUS berpihak kepada AMD pula dimana Zephyrus Duo 15 sebelum ini menggunakan cip Intel Core i9-10980HK. Ia kini dikuasakan AMD Zen 3 iaitu Ryzen 7 5800H atau Ryzen 9 5900HX.

Komputer riba ini dilengkapi paparan utama berukuran 15.6 inci dan paparan kedua boleh sentuh bersaiz 14.1 inci yang boleh dinaikkan apabila komputer riba ini dibuka.



Selain itu, ia menawarkan paparan 4K UHD, kadar penyegaran 120Hz dan 100% Adobe RGB. Jika anda mahukan kadar penyegaran lebih tinggi, terdapat juga resolusi FHD serta kadar penyegaran 300Hz.

Untuk skrin keduanya pula atau (ScreenPad), ia menggunakan panel IPS boleh sentuh beresolusi 3840x1100 60Hz dan 72% NTSC atau resolusi 1920x550 60Hz serta 72% NTSC.

ASUS juga akan menambah sokongan ASUS ProArt Control Panel pada komputer riba ini kelak bagi golongan profesional.



Spesifikasi lain termasuk kad grafik RTX 3070 atau RTX 3080, 16GB RAM dan 1 slot SODIMM sehingga 32GB dan storan dalaman 512GB atau 1TB PCIe NVMe SSD dengan sokongan RAID 0.

Tambahan lagi, ROG Zephyrus Duo 15 SE ini dinaik taraf sistem penyejukannya bagi memberikan prestasi yang terbaik buat pengguna.

Menerusi ini, hanya spesifikasi dalaman sahaja dikemaskini di mana rekaan komputer riba ini masih sama seperti sebelum ini.

ASUS ROG Zephyrus Duo 15 SE sudah boleh di pra-tempah buat pasaran AS pada harga US$2899 (~RM11703) dan masih belum tersedia buat pasaran Malaysia.