ASUS ROG Phone 2 Terjual Sebanyak 10,000 Unit Dalam Masa 73 Saat

Peranti memfokuskan permainan terbaru, ASUS ROG Phone 2 telah rasmi diperkenalkan pada minggu yang lalu. Ia mendapat sambutan luar biasa di China dimana daftar minat pada platform JD.com dikatakan mencecah 2.5 juta.

Melalui pendaftaran minat tersebut, ia membolehkan bakal pembeli menyertai jualan kilat untuk ROG Phone 2. Jualan kilat pertama yang dilangsungkan hari ini memperlihatkan 10,000 unit peranti telah berjaya terjual hanya dalam masa 73 saat sahaja.



Lanjutan daripada itu, ASUS memohon maaf kepada peminat yang tidak berjaya mendapatkannya hari ini dan berjanji akan menyediakan stok yang mencukupi bagi menghadapi jualan kilat seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos, 7 Ogos, dan 12 Ogos hadapan.

Bagi telefon pintar generasi kedua ini, ASUS telah membawakan spesifikasi seperti skrin paparan 6.59 inci AMOLED dengan sokongan HDR10 serta kadar segar semula sehingga 120Hz.

Ia dipadukan lagi dengan cip pemprosesan berkuasa terbaru, Snapdragon 855 Plus yang digandingkan bersama RAM 12GB bersama-sama storan (UFS 3.0 )sehingga 512GB. Menguatkan lagi penawaran, ASUS ROG Phone 2 diberikan bateri berkapasiti 6000mAh. Bagi rakaman foto pula, peranti ini disediakan lensa selfie 24MP serta dwi kamera belakang 48MP + 13MP.

Sumber: GizChina