Astro Ultra Box - Perlu Tukar Atau Tidak?

Astro Ultra Box merupakan kotak Astro generasi terkini yang telah dilancarkan pada November tahun lalu. Didatangkan dengan kotak yang lebih kecil berbanding generasi sebelumnya, ia menyokong kandungan 4K, paparan baharu, rakaman Cloud, dan pelbagai fungsi menarik untuk meningkatkan pengalaman hiburan di rumah.

Namun, mungkin masih ada di antara anda yang berkira-kira untuk menaik taraf kepada Astro Ultra Box. Berikut disenaraikan beberapa pembaharuan yang terdapat pada Astro Ultra Box yang mungkin dapat membantu anda membuat keputusan dengan lebih tepat.

Paparan 4K UHD




Dengan menaik taraf ke Ultra Box, anda dapat menikmati UEFA Euro 2020, Liga Perdana Inggeris, La Liga dan Formula 1 di saluran 780 serta beberapa filem terpilih di kedua-dua saluran Astro Best pada resolusi Definisi Ultra Tinggi 4K (4K UHD). Untuk menikmati paparan 4K ini, anda perlu mempunyai televisyen HDCP 2.2.

Skrin Home Baharu




Ultra Box mempunyai paparan Home yang lebih segar dan menarik dari sebelum ini. Melalui Home juga, anda boleh mengakses Video On Demand, My Library, Setting, Search dan lain-lain. Ia menunjukkan semua yang dilanggan oleh anda.

Play From Start


Astro Ultra Box

Dengan fungsi Play From Start, anda tidak lagi perlu risau jika terlepas permulaan rancangan yang ingin ditonton.  Sebagai contoh, waktu siaran rancangan tersebut adalah pada jam 9.00 malam. Namun, pada ketika itu anda masih berada di luar dan tiba di rumah pada sekitar 9.30 malam. Melalui Play From Start, anda dapat memainkan semula rancangan tersebut dari mula selagi rancangan tersebut masih berlangsung di TV. Berbeza dengan PVR sebelum ini yang memerlukan anda merakam terlebih dahulu jika mahu menontonnya dari awal.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan fungsi pause, backward dan back forward yang boleh dipercepatkan sehingga 64 kali kelajuan.

Butang Search




Untuk mengingati nombor saluran yang banyak bukanlah sesuatu yang mudah. Sudah tentu lebih banyak perkara yang perlu diutamakan. Dengan butang Search, anda boleh membuat carian dengan lebih cepat dan mudah.

Taip sahaja nama pelakon, tajuk rancangan, nama pengarah atau saluran dan dengan mudah anda dapat menemuinya. Dalam kata lain, taip sahaja apa-apa kata kunci yang terlintas di fikiran anda mengenai rancangan atau saluran tersebut.

Video on Demand


Di bahagian ini, anda dapat membuat penstriman lebih 50, 000 video yang terkini seperti drama yang baru sahaja selesai ditayangkan dan juga filem tertentu. Untuk mengakses On Demand, melalui butang Home, pergi ke Movies. Kemudian, pilih sahaja drama bersiri kegemaran dan tonton secara maraton pada hujung minggu atau bila-bila masa.

Penstriman ini boleh diakses secara percuma. Namun, terdapat beberapa filem pecah panggung yang boleh dilanggan secara pay-per-view. 

Stop Here, Continue There


Sedang anda terleka menonton rancangan kegemaran di TV, muncul pula rakan yang ingin mengajak keluar. Dengan adanya fungsi baru ini, anda boleh memilih kedua-duanya tanpa perlu membuat pilihan sama ada ingin meneruskan tontonan rancangan kegemaran dan menolak pelawaan rakan anda atau sebaliknya.

Melalui fungsi ini, dengan bantuan penyimpanan awan, anda boleh pause rancangan yang sedang ditonton di televisyen dan kemudian menyambungnya semula di peranti anda melalui aplikasi Astro Go.

Rakaman Cloud tanpa had, 200 jam percuma


Astro Ultra Box

Jika sebelum ini, anda hanya dibenarkan untuk merakam dua rancangan dalam masa yang sama. Dengan Ultra Box yang mempunyai simpanan awan, anda kini boleh merakam seberapa banyak rancangan yang diingini tanpa had dan secara serentak. Rakaman juga boleh dibuat melalui Ultra Box atau aplikasi Astro Go yang boleh diakses pada mana-mana peranti. Semua rakaman tersebut akan disimpan pada bahagian Home > My Library.

Anda juga boleh memilih untuk memadam rakaman rancangan yang telah ditonton untuk menjimatkan atau mendapatkan kembali storan awan tersebut. Selain itu, antara kelebihan utama penggunaan penyimpanan awan ini adalah rakaman yang telah dibuat akan disimpan dengan selamat.

Anda mungkin pernah mengalami situasi di mana anda menggunakan PVR, merakam rancangan kegemaran, namun belum sempat rancangan yang telah dirakam itu ditonton, dekoder tersebut rosak atau anda perlu berpindah rumah. Disebabkan rakaman tersebut disimpan pada storan dalaman dekoder, rancangan yang dirakam tidak lagi dapat ditonton dan dekoder akan disetkan semula.

Dengan adanya penyimpanan awan, jika dekoder rosak atau anda berpindah rumah, ia akan kekal disimpan secara selamat. Anda diberikan 200 jam percuma penyimpanan awan, 400 jam bagi RM12/sebulan atau 1500 jam untuk RM15/bulan. Setiap rakaman adalah dalam paparan HD.

Perlu tukar receiver, bergantung kepada kelajuan internet


Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kekurangan dimana anda perlu menukar low-noise block downconverter (LNB) atau receiver jenis dCSS apabila ingin memasang Astro Ultra Box, berbanding jenis Universal yang dipasang sebelum ini. Bagi penduduk kondominium atau strata, ia mungkin menimbulkan sedikit kesukaran untuk menukar receiver ini. Namun, ia bukanlah satu masalah yang besar dan bergantung kepada pihak pengurusan kondominium tersebut.

Selain itu, dengan kebergantungan kepada internet, sudah pasti ia tidak sesuai bagi semua pengguna Astro, terutamanya penduduk luar bandar atau kawasan dengan sambungan internet yang kurang memuaskan. Anda perlu mempunyai sambungan internet dengan kelajuan sekurang-kurangnya 10Mbps. Dengan usaha kerajaan ke arah teknologi 5G menjelang tahun 2023, untuk mencapai kelajuan 10Mbps bukan lagi satu masalah yang besar.



Jika internet tidak dapat disambungkan, anda masih dapat menonton rancangan yang disiarkan seperti PVR dengan tanpa akses pada fungsi-fungsi yang memerlukan internet seperti penyimpanan awan, rakaman, Video on Demand dan sebagainya. Walau bagaimanapun, di bahagian tetapan, terdapat pilihan untuk menyimpan rakaman tersebut pada simpanan lokal dengan menyambungkan HDD luaran pada Ultra Box.

Seterusnya, jika dilihat pada saluran yang boleh dirakam, ia juga adalah terhad dengan beberapa saluran yang tidak dibenarkan untuk dirakam seperti saluran HBO dan CineMax kerana melibatkan harta intelek.

Berbaloi ke nak tukar?


Dengan segala pembaharuan yang ada, ia mungkin suatu yang berbaloi untuk menaik taraf kepada Astro Ultra Box jika anda merasakan fungsi-fungsi baru yang ada akan meningkatkan pengalaman menonton seisi keluarga.

Akan tetapi, harus diingatkan untuk menikmati saluran 4K, anda bukan sahaja perlu menukar dekoder, malah perlu menukar televisyen yang menyokong HDCP 2.2 jika televisyen sedia ada tidak mempunyai sokongan tersebut. Dan anda juga memerlukan sambungan internet yang baik untuk menikmati segala fungsi yang ada secara menyeluruh.

Bagi pelanggan Astro sedia ada, anda boleh menaik taraf ke Ultra Box secara percuma jika bil bulanan Astro anda melebihi RM100. Bagi bil yang tidak melebihi RM100, anda perlu membayar RM199 untuk bertukar ke Ultra Box. Anda juga akan dikontrak semula untuk tempoh 24 bulan.

Bagi pelanggan baru yang ingin mendapatkan Ultra Box, anda perlu membayar RM99 bagi bil bulanan RM100 dan ke atas serta RM199 untuk bil di bawah RM100.

Untuk maklumat lanjut mengenai Astro Ultra Box, sila ke pautan ini.