Apple hari ini telah mengeluarkan perubahan garis panduan App Store untuk pembangun, termasuk menambah ciri menghalang penjejakan iklan melalui App Tracking Transparency pada iOS 14.5.
Menerusi peraturan baharu ini, pembangun perlu meminta kebenaran sebelum menjejak aktiviti pengguna.
Mungkin ramai yang tertanya, dengan pelaksanaan peraturan baharu ini, apakah impak positif kepada pengguna?
Semua pembangun aplikasi iPhone, iPad, dan Apple TV perlu mendapat izin pengguna untuk menjejak aktiviti mereka di aplikasi lain dan laman web serta akses Identifier for Advertisers (IDFA).
Apabila pertama kali membuka aplikasi, pengguna akan melihat dialog tetingkap dengan dua pilihan iaitu “Allow Tracking” dan “Ask Apps Not to Track”.
Jika pengguna memilih “Ask Apps Not to Track”, Apple akan menyekat pembangun aplikasi daripada akses IDFA pengguna. Pembangun juga perlu menghormati pilihan pengguna secara umum, atau sebaliknya aplikasi tersebut mungkin akan dibuang daripada App Store.
Secara ringkasnya, pembangun seperti Facebook mendakwa ciri ini memberikan impak yang negatif terhadap perniagaan dalam talian berikutan boleh melumpuhkan keupayaan mereka untuk menyiarkan iklan bersasar.
Walaupun begitu, di sisi pengguna, ia memberikan kelebihan terhadap kawalan data privasi, di mana pengguna boleh memilih untuk membenarkan penjejakan iklan atau sebaliknya.
Sumber: Apple via Apple Insider, MacRumors