Apple Sedang Menguji Panel 120Hz Untuk iPhone 12 Pro

Siri iPhone 12 tahun ini merupakan peranti yang bakal menerima facelift baharu dari segi rekaan dan juga fungsinya. Antara spesifikasi yang kebiasannya sudah pasti akan dipertingkatkan adalah dari segi prestasi dan juga kameranya. Namun, tumpuan diberikan kepada teknologi paparan terutamanya dari aspek kadar segar semula.

Ini adalah kerana peranti Android kebanyakannya sudah dimuatkan dengan panel kadar segar semula tinggi baik 90Hz atau 120Hz. Malah ada juga yang lebih tinggi seperti pada Nubia Red Magic 5G.

Hari ini, peminat iPhone lagi-lagi model iPhone 12 tahun ini boleh tersenyum sedikit kerana dilaporkan Apple sedang menguji paparan kadar segar semula tinggi untuk model tersebut.

Bersumberkan PineLeaks dan EverythingApplePro yang sebelum ini hadir dengan maklumat eksklusif iPhone 12, dikatakan Apple bakal memuatkan panel 120Hz yang khusus untuk iPhone 12 model Pro. Model iPhone 12 yang biasa walau bagaimanapun tidak akan menerima panel yang sama kerana Apple mahu memisahkan ciri-ciri khusus model Pro dengan yang biasa.

https://twitter.com/PineLeaks/status/1259316607400148992

Walau bagaimanapun, dalam ujian panel 120Hz tersebut, Apple sedang berusaha untuk memastikan piawaian warna berada dalam tahap sempurna. Tambahan lagi, jika Apple tidak dapat memastikan kejituan warna berada sepertimana yang mereka kehendaki, Apple tidak akan memuatkan panel 120Hz sebaliknya hanya memuatkan panel 60Hz sahaja.

Dalam pada masa yang sama, Apple juga sedang membangunkan mekanism dinamik secara automatik yang menukar antara 120Hz dan 60Hz bergantung kepada aplikasi yang pengguna buka. Ini adalah sangat membantu untuk mengelakkan masalah ketahanan bateri disebabkan panel 120Hz yang menggunakan banyak tenaga ini.

Tahun ini juga Apple bakal memuatkan kapasiti bateri yang lebih besar untuk siri iPhone 12. Untuk model Pro terutamanya, dengan rangkaian 5G dan juga panel 120Hz, ura-ura mengatakan ia akan menerima kapasiti bateri sekitar 4,400mAh untuk memastikan ketahanan bateri yang cemerlang.

Siri iPhone 12 tahun ini bakal mendapat 4 model yang dipecahkan antara 2 iPhone 12 biasa dan 2 iPhone 12 Pro. Walaupun model Pro kelihatan lebih ganas dengan spesifikasi yang lebih kompetitif dengan model flagship Android, model iPhone 12 biasa juga turut mendapat ciri-ciri menarik seperti harga permulaan yang lebih rendah.

iPhone 12 series

Siri iPhone 12 ini akan dilancarkan sekitar bulan September/Oktober ini. Walaupun Apple lambat untuk turut serta ke parti kadar segar semula tinggi, kemunculannya sudah tentu ditunggu-tunggu terutamanya untuk peminat produk Apple yang dahagakan inovasi terbaharu dari syarikat itu.

Sumber: EverythingApplePro, PineLeaks

 

Berkaitan