Apple Sedang Menggunakan 'Neural Engine' Dalam Usaha Meningkatkan AI Di Dalam Peranti iOS

Apple sedang membangunkan cip pemprosesan yang berkaitan dengan tugas AI mengikut laporan dari Bloomberg.

Cip itu akan dikenali dengan nama Apple Neural Engine dan akan mempertingkatkan keupayaan peranti iOS dalam memproses tugas berkaitan dengan interaksi dengan pengguna manusia seperti pengecaman wajah dan suara.

Laporan itu mengaitkan usaha Apple untuk mengejar pesaing mereka iaitu Amazon dan Google dari segi AI.

Walaupun Siri merupakan pembantu digital yang diperkenalkan di pasaran, ia telah pun dipintas oleh Alexa dari Amazon dan Google Assistant dari Google.

Siri dilihat agak ketinggalan di belakang berbanding pesaingnya di pasaran dan Apple dilihat terpaksa meningkatkan keupayaannya untuk kekal relevan di pasaran.

Sebelum ini Apple menggunakan cip utama untuk memproses segala benda di dalam peranti mereka termasuk proses AI.

Neural Engine ini akan membantu peranti Apple untuk memproses berasingan segala kerja berkaitan dengan AI tanpa menganggu cip utama.

Apple dijangka akan mengaplikasikan teknologi baru ini ke peranti utama mereka namun terdapat keraguan samada mereka sempat untuk peranti iPhone 8 yang bakal keluar hujung tahun ini.

Sumber