Apple Perkenalkan macOS 10.15 Catalina

Selepas 18 tahun, Apple mematikan aplikasi iTunes.


Semalam telah berlangsungnya acara tahunan Apple WWDC 2019 yang mengumpulkan ribuan pembangun serta mengumumkan beberapa produk terbaru mereka, khususnya sistem operasi.

Seperti dijangka, Apple telah mengumumkan versi terbaru iOS 13 serta sistem operasi terbaru bagi komputer Apple Macintosh, macOS 10.15.

Bagi versi 10.15, Apple menamakan sisitem operasi tersebut sebagai macOS Catalina.

Antara ciri terbaru yang ada pada macOS ini adalah ciri "Sidecar" yang membolehkan peranti iPad dijadikan paparan kedua bagi Mac yang boleh dibuat secara sambungan tanpa wayar.

Selain itu, Project Catalyst bagi pembangun pula membolehkan pembangun membangunkan aplikasi berdasarkan aplikasi yang sedia ada pada iPad. Sekaligus bakal membawakan sebahagian aplikasi yang sesuai dari iPad untuk dimasukkan juga ke dalam Mac.

Pengenalan versi terbaru macOS ini juga turut mematikan aplikasi pemain muzik iTunes. Apple memutuskan untuk mematikan aplikasi tersebut dan pecahkannya kepada 3 aplikasi berbeza iaitu Apple Music, Apple Podcasts, Apple TV.

Kapsyen: Antaramuka aplikasi Music yang menggantikan pemain muzik iTunes.


Buat masa ini, versi beta untuk pembangun sudah sedia boleh dimuat turun. Tetapi untuk versi beta umum pula hanya akan boleh dimuat turun dalam bulan Julai nanti.

Manakala versi penuh yang boleh dimuat turun oleh semua pengguna Mac pula hanya akan tersedia dalam bulan September tahun ini.

Berikut adalah senarai komputer Apple Macintosh yang menyokong macOS 10.15 Catalina:-

  • 2017 iMac Pro dan terbaru

  • 2015 MacBook dan terbaru

  • 2013 Mac Pro dan terbaru

  • 2012 iMac dan terbaru

  • 2012 MacBook Air dan terbaru

  • 2012 MacBook Pro dan terbaru

  • 2012 Mac mini dan terbaru