Apple Mungkin Hasilkan Lebih Sedikit iPhone Pada Tahun Hadapan

iPhone sering dikaitkan dengan kemewahan dan mempunyai nilainya yang tersendiri. Disamping mempunyai ramai peminat setia, telefon keluaran Apple itu juga selalu menjadi mangsa kecaman beberapa pihak. Kecaman berkenaan sedikit sebanyak telah menjejaskan perniagaan Apple.

Buktinya, badan penganalisa pasaran terkemuka Goldman Sachs telah meramalkan bahawa Apple mungkin akan mengeluarkan 6% lebih sedikit iPhone pada tahun hadapan. Hal ini kerana beberapa pembekal utamanya didapati telah mengurangkan prospek penghantaran mereka untuk peranti itu.

Kapsyen: Kredit: The Verge


Antara pembekal yang melakukan sedemikian ialah Lumentum Holding Inc. Syarikat ini ialah pembekal terbesar bagi sensor pengesan wajah untuk iPhone. Selain itu, Japan Display yang membekalkan panel paparan skrin iPhone juga turut mengambil tindakan sama.

Malah, kebangkitan mendadak jenama-jenama daripada China juga turut menyumbang kepada perkara ini. Sebagai contoh, pada suku kedua tahunan yang lalu, Huawei telah mencatat sejarah apabila memintas Apple dalam senarai penguasaan industri buat kali pertama.

Sekiranya perkara ini terus berlaku, pihak Apple seharusnya mencari jalan lain untuk memenangi kembali hati penggunanya yang telah beralih ke model Android, terutamanya. Kita nantikan apakah tindakbalas yang akan diambil oleh pihak Apple nanti.

 

Gambar utama: Fortune

Sumber: CNBC