Apple Mungkin Akan Lancarkan Model iPhone 2 Kali Setahun Bermula Tahun 2021

Penganalisis, J.P. Morgan menjangkakan Apple bakal membuat strategi baharu bermula tahun 2021 dengan melancarkan model utama 2 kali dalam masa setahun. Seperti yang diketahui Apple buat sekian lamanya hanya melancarkan model iPhone (utama) sekali sahaja iaitu sekitar bulan November pada setiap tahun.

Dengan strategi baharu ini, iPhone tahun-tahun seterusnya akan lebih mudah bersaing dengan teknologi dan produk baharu yang dikeluarkan oleh jenama pesaing dalam kitaran 6 bulan. Strategi ini adalah apa yang dilakukan oleh Samsung, Huawei serta OnePlus.

Jangkaan yang dibuat itu adalah berdasarkan kepada semakan rantaian pembekal Apple. Penganalisis J.P. Morgan itu, Samik Chatterjee menambah bahawa akan terdapat 4 model baharu iPhone (termasuk model 5G)  yang akan dilancarkan tahun 2020 nanti.

Untuk tahun 2020, kesemua barisan iPhone akan dilengkapi skrin OLED, dengan saiz 5.4 inci (1 model), 6.1 inci (2 model), dan 6.7 inci (1 model). Beliau menjangkakan 2 model paling berkuasa (6.1 dan 6.7 inci) akan mempunyai sokongan 5G mmWave, 3 kamera, 3D sensing. Untuk model 2 terbawah (satu 6.1 dan 5,4 inci) akan mempunyai sokongan 5G sub-6 GHz dan dua kamera (tiada 3D sensing).

Sumber: CNBC