Apple Mula Hantar Jemputan Media Untuk Satu Majlis 30 Oktober Ini

Selepas melancarkan tiga model iPhone sekaligus pada bulan lepas, Apple sekali lagi akan mengadakan satu majlis khas pada 30 Oktober ini. Walaupun Apple masih merahsiakan mengenai tujuan majlis itu diadakan, banyak "cakap-cakap" yang mengatakan ia adalah untuk pelancaran iPad Pro dan Macbook baharu.

Kapsyen: Kredit: CNET


iPad Pro merupakan satu lagi peranti Apple yang ditunggu-tunggu oleh peminat mereka di seluruh dunia tahun ini. Tablet tersebut dijangka akan membawa beberapa ciri iPhone X seperti tiada butang Home dan bingkai yang lebih nipis.

Kapsyen: Kredit: CNET


Selain iPad Pro, Apple juga mungkin akan memperkenalkan barisan baru dalam siri Macbook mereka. Antara yang hangat dikatakan ialah sebuah model Macbook Air baharu yang menggunakan paparan Retina dengan harga lebih mampu milik.

Kapsyen: Kredit: CNET


Tambahan lagi, ada juga kemungkinan peranti Mac Mini baharu akan dilancarkan semasa majlis itu nanti. Mac Mini yang kali terakhir menerima kemaskini pada tahun 2014 itu barangkali bakal digantikan dengan model baru tahun ini.

Apa-apa pun, kita perlu menunggu pengumuman lanjut mengenai perkara ini daripada Apple bagi mendapat berita yang benar-benar sahih. Memandangkan tarikh itu cuma berbaki kurang dua minggu dari sekarang, kita mungkin akan mendengar maklum balas dari Apple dalam masa terdekat.

 

Sumber : BGR