Apple Menyatakan iOS 13 Akan Lebih Pantas Daripada Versi iOS Sebelumnya

iOS 13 dikatakan akan menjadikan peranti iPhone lebih pantas, tapi...


Pada pengenalan versi terbaru iOS 13 yang dibuat di acara WWDC 2019 baru-baru ini, Apple telah memperlihatkan beberapa ciri terbaru yang ada pada versi terbaru iOS tersebut. Tetapi di sini bukan hendak membincangkan tentang ciri-ciri terbaru yang bakal dimuatkan pada iOS 13 nanti.

Sebaliknya penulis lebih tertarik terhadap kenyataan oleh Craig Federighi, Naib Presiden Kanan,Kejuruteraan Perisian Apple...

"nothing is more important to our iPhone users than performance. So this year, we worked top-to-bottom making everything faster that you do the most."

Face ID


Dalam pembentangan tentang iOS 13, beliau menyatakan bahawa iOS 13 adalah 2 kali lebih pantas dari versi iOS 12. Antara ciri utama iPhone yang dipertingkatkan prestasinya adalah teknologi imbasan wajah, Face ID.



Face ID iPhone sememangnya sudah sedia pantas. Tetapi Apple mendakwa Face ID di iOS 13 akan menjadi sehingga 30% lebih pantas. Apple tidak pula menyebut tentang bagaimana prestasi tersebut dipertingkatkan.

Tetapi ia berkemungkinan ada kaitan dengan teknologi sensor TrueDepth generasi kedua yang bakal dimuatkan dalam model-model iPhone akan datang.

Aplikasi dilancar lebih pantas


Apple juga mendakwa, aplikasi-aplikasi yang dilancarkan pengguna pada peranti iPhone bakal menjadi 2 kali lebih pantas. Apple menjelaskan, aplikasi yang dilancar menjadi lebih pantas di iOS 13 kerana mereka mengecilkan saiz fail aplikasi yang dimuat turun ke dalam iPhone sehingga 50% lebih kecil.



Malah fail kemas kini bagi aplikasi-aplikasi itu juga dikecilkan sehingga 60%. Ini akan memberikan manfaat terhadap data pelan internet pengguna serta penggunaan ruang storan yang lebih kecil.



Bermakna apabila fail-fail aplikasi tersebut lebih kecil, sekaligus menjadikan proses memasukkan aplikasi dan melancarkan sesebuah aplikasi di peranti iPhone akan menjadi lebih pantas.

Walaubagaimanapun...


Disebalik apa yang dinyatakan Apple tentang peningkatan prestasi yang dibuat pada iOS 13 itu, pengguna iPhone jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi, khususnya mereka yang masih menggunakan model terdahulu.

Ini kerana penambahbaikan prestasi iOS 13 ini mungkin kesannya lebih dirasai oleh pengguna model iPhone terkini. Pengguna iPhone model terdahulu seperti iPhone SE dan iPhone 6s yang dilengkapi dengan perkakasan yang lebih berusia mungkin tidak begitu merasai perbezaan ketara prestasi iOS 13 ini.

Kapsyen: Malah peranti iPhone terdahulu yang masih menyokong iOS 13 juga turut tidak menyokong sepenuhnya ciri-ciri terbaru yang diperkenalkan dalam iOS 13.


iOS 13 buat masa ini masih dalam peringkat beta yang hanya boleh dimuat turun oleh para pembangun yang berdaftar dengan Apple sahaja. Bagi versi beta untuk pengguna umum pula, ia hanya boleh dimuat turun dalam bulan Julai nanti.

Versi penuhnya pula dijangka akan boleh dimuat turun oleh semua pengguna pada bulan September nanti.