Apple Memfailkan Saman Terhadap Bekas Pereka Cip Selepas Dia Membuka Firmanya Sendiri

Bekas pekerja itu dituduh melanggar terma perjanjian kerja bersama Apple.


Apple dilaporkan telah memfailkan saman terhadap seorang bekas pekerja mereka selepas didapati bekas pekerja itu membuka sebuah syarikat miliknya sendiri.

Bekas pekerja Apple itu yang bernama Gerard Williams III adalah merupakan seorang bekas ketua arkitek dalam pembangunan cip pemprosesan produk-produk utama Apple sebelum ini termasuklah iPhone dan iPad.

Selepas keluar dari Apple, Gerard Williams telah memulakan syarikatnya sendiri yang bernama Nuvia pada November 2019 lalu.

Nuvia merupakan syarikat yang mengkhususkan pembanguna  cip untuk pusat data. Ia turut diterajui bersama oleh seorang lagi bekas jurutera Apple bernama John Bruno dan Manu Gulati.

Pada November lalu, Nuvia memaklumkan bahawa mereka telah menerima dana berjumlah USD53 juta yang disumbangkan dari beberapa pemain utam industri teknologi termasuklah Silicon Valley investors Capricorn Investment Group, Dell Technologies Capital, Mayfield, WRVI Capital dan Nepenthe LLC.

Dalam pemfailan saman yang dikemukakan itu, Apple menuduh bahawa Gerard Williams telah melanggar terma perjanjian pekerjaan Apple dengan merujuknya sebagai cuba bersaing atau secara langsung berkaitan dengan perniagaan atau produk keluaran Apple.

Sumber: Bloomberg