Apple sebelum ini telah mengumumkan perkongsian mereka mengenai peralihan dari menggunakan cip Intel kepada cip binaan mereka sendiri.
Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba, Apple hari ini telah memperkenalkan cip M1 yang merupakan cip pertama untuk Apple Silicon. Apple M1 merupakan cip yang memfokuskan kepada prestasi tinggi dan juga kecekapan tenaga dalam binaan 5nm.
Ia adalah dari senibina ARM dan juga unified memory architecture (UMA) dan hadir dengan 8 teras CPU, sehingga 8 teras GPU, dan 16 teras Neural Engine. Apple tidak berkongsi dengan lebih lanjut kelajuan CPU, namun menyatakan 8 teras CPU tersebut terdiri dari 4 teras utama prestasi tinggi dan 4 teras lagi cekap tenaga.
Pada M1 juga Apple memuatkan sebanyak 16 billion transistor. Ia merupakan cip dengan jumlah transistor paling banyak yang pernah Apple hasilkan.
Mengenai prestasi CPU M1, Apple tidak menceritakan dengan terperinci perbandingan dengan cip yang lain seperti Intel namun hanya membuat kenyataan cip M1 mereka adalah lebih pantas dari cip laptop PC sahaja.
Untuk prestasi GPU pula, ia adalah merupakan pemprosesan grafik terbina terpantas di dunia. Mengikut dakwaan Apple ini, ia adalah lebih pantas dari grafik Intel Iris Xe terbaharu. Apple juga turut memperlihatkan prestasi GPU mereka yang boleh mencecah sehingga 2.6 teraflops.
Jika dilihat dari sekadar nombor, Iris Xe Max hanya mempunyai sekadar 2.46 teraflops sahaja.
Antara kelebihan menggunakan cip Apple M1 apabila diaplikasikan kepada komputer Mac Apple, komputer akan aktif dan hidup serta merta seperti sebuah telefon pintar, 1.9x lebih pantas, sistem operasi dan juga animasi lebih lancar.
Namun begitu, kelebihan paling menarik sudah tentunya penggunaan komputer yang lama disebabkan cip berasaskan ARM jimat tenaga berbanding cip seperti Intel.
Dengan pengenalan cip M1 ini, Apple juga secara rasmi mengumumkan kehadiran cip ini dalam komputer riba MacBook Air dan juga MacBook Pro terbaharu mereka.