Apple Halang Penggunaan Komponen Tidak Rasmi Pada MacBook Pro Dan iMac Pro

Kadanga-kala, sesetengah pemilik MacBook Pro dan iMac Pro memilih untuk membaiki peranti mereka di kedai yang menggunakan komponen pihak ketiga.

Ia mungkin kerana harganya lebih murah ataupun tiada pusat baiki Apple yang sah berada berdekatan mereka.

Namun, menuruti laporan daripada MacRumours, cip sekuriti daripada Apple yang dipanggil T2, akan menghalang MacBook dan iMac daripada berfungsi sekiranya terdapat komponen tidak rasmi.

Laporan menyebut, dokumen dalaman yang diedarkan kepada pusat baiki Apple yang sah ada menyatakan, selepas komponen diganti, perisian 'sistem konfigurasi' akan memeriksa sama ada komponen gantian itu rasmi atau tidak.

Difahamkan peranti yang dilengkapi dengan cip T2 hanya akan boot apabila mendapat kebenaran daripada  perisian Apple Service Toolkit 2.

Perisian tersebut hanya terdapat di pusat baiki Apple yang sah dan cuma berfungsi apabila bersambung dengan Apple’s Global Service Exchange (GSX), pelayan awan untuk proses baiki.

Pemeriksaan sekuriti itu melibatkan penggantian komponen seperti paparan, papan logik, Touch ID, papan kekunci, bateri, pad pengesan, dan speaker untuk MacBook Pro 2018.

Bagi model Mac Pro, pemeriksaan hanya melibatkan papan logik dan juga penggantian flash storan.

Polisi yang baru ini dilihat memberi impak kepada kedai-kedai baik pulih yang hanya menawarkan komponen pihak ketiga.

Sumber: MacRumours dan The Next Web