Apple Hadapi Kekurangan Peranti Dan Aksesori Gantian

Apple Inc. memberi amaran kepada pekerja di kedai jualannya mengenai kekurangan bekalan bagi penggantian iPhone. Menurut pekerja Apple Store, syarikat itu baru-baru ini memberitahu kakitangan sokongan teknikal di kedai-kedai jualan bahawa penggantian iPhone bagi peranti yang rosak akan menghadapi kekurangan bekalan selama dua hingga empat minggu.

Para pekerja Apple Store turut dimaklumkan bahawa mereka boleh menghantar peranti gantian kepada pelanggan dan menyediakan peranti pinjaman untuk mengurangkan masa menunggu.



Tidak dinyatakan dengan lebih terperinci mengenai punca kekurangan bekalan tersebut, tetapi ia mungkin berkait dengan kelewatan pengeluaran berikutan wabak Covid-19. Beberapa kedai jualan juga dilaporkan kekurangan komponen yang digunakan untuk membaiki iPhone.

Terdahulu, Foxconn yang merupakan syarikat penghasilan iPhone dan aksesori terpaksa ditutup pada Februari berikutan Covid-19 yang berada ditahap membimbangkan. Walaupun syarikat itu sudah kembali beroperasi seperti biasa, tetapi pengeluaran masih belum kembali ke paras normal disebabkan kekurangan pekerja, sekatan perjalanan dan faktor lain.

Pengeluaran iPhone dijangka kembali pulih sepenuhnya pada akhir Mac ini.

Sumber: MacRumors