Apple baru sahaja melepaskan kemaskini iOS 14.3 kepada umum awal pagi tadi dan antara perkara baharu adalah Apple Fitness+ kini tersedia buat pengguna iPhone, iPad dan Apple TV.
Apakah itu Apple Fitness+?
Apple Fitness+ adalah aplikasi senaman pertama yang dibangunkan untuk Apple Watch yang mana ia kini boleh digunakan pada peranti lain dimana anda boleh menonton latihan dan senaman gaya studio secara eksklusif melalui peranti Apple anda.
Untuk pelancaran pertama, perkhidmatan ini menampilkan latihan senaman dalam 10 kategori iaitu:
- Latihan selang intensiti tinggi (HIIT)
- Kekuatan
- Yoga
- Tarian
- Teras
- Berbasikal
- Treadmill (untuk larian dan berjalan)
- Mendayung
- mindful cooldown
Jika anda ingin menggunakan Fitness+, anda perlu memiliki sekurang-kurangnya Apple Watch Series 3 serta watchOS 7.2 yang dipadankan dengan iPhone 6s ke atas serta iOS 14.3.
Selain itu, jika anda berminat untuk skrin yang lebih besar, anda boleh padankan dengan iPad atau Apple TV yang menjalankan sistem operasi iPadOS 14.3 dan tvOS 14.3.
Sejurus anda melakukan semua perkara tersebut, Fitness+ boleh diakses menerusi tab baharu dalam aplikasi Fitness yang sudah terpasang dalam peranti.
Namun, untuk iPad, anda perlu memuat turun aplikasi Fitness melalui App Store. Tambahan lagi, pengguna Apple Watch sedia ada akan menikmati 1 bulan percuma Fitness+.
Sementara pengguna yang baru membeli Watch Series 3 dan ke atas akan menikmati 3 bulan percuma Apple Fitness+.
Fitness+ boleh dilanggan dengan harga AS$9.99 (~RM40) sebulan atau AS$79.99 (~RM325) setahun.
Turut ditawarkan dalam pelan Apple One Premier dengan harga AS$29.95 (~RM122) sebulan.
Walau bagaimanapun, Apple Fitness+ masih belum tiba buat pengguna di Malaysia kerana masa sekarang ia hanya ditawarkan di AS, UK, Kanada, Australia, Ireland dan New Zealand dahulu.
Sumber: Apple