Apple Disaman Untuk Teknologi FaceTime Yang Dikatakan Melanggar Paten Harta Intelek Uniloc

Uniloc kini kembali dan kali ini, wang Apple pula yang menjadi sasaran mereka. Uniloc, sebuah syarikat keselamatan PC yang diasaskan di Australia. Mereka memang terkenal sebagai syarikat yang akan menyaman syarikat-syarikat lain yang melibatkan pelanggaran harta intelek. Disebabkan itu, mereka digelar "patent troll".

AppleInsider melaporkan yang Uniloc telah memfailkan permintaan untuk perbicaraan bagi menyaman Apple atas pelanggaran hak harta intelek. Pelanggaran harta intelek ini berkenaan paten '522 yang dibangunkan oleh Hewlett-Packard Development Company pada tahun 2013 yang membolehkan peranti berkomunikasi dengan pelayan melalui rangkaian Wi-Fi, 3G atau LTE.

Paten '522 telah berpindah tangan beberapa kali sehinggalah Uniloc mendapatkannya melalui kerjasama bersama Hewlett-Packard.

Saman tersebut mengatakan peranti yang terlibat dengan paten tersebut adalah iPhone 4 dan keatas, iPad 2 dan keatas, iPad Mini, iPod Touch generasi ke-4 dan keatas dan juga MacBook yang menggunakan OS X dan keatas.

Tiada nilai saman yang dinyatakan dan Uniloc menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan nilai keseluruhan yang layak mereka terima.

Sebelum ini, Uniloc telah memfailkan 2 saman berasingan terhadap Apple melibatkan teknologi AirDrop dan juga pemantauan rangkaian yang dikatakan melanggar paten harta intelek yang dipegang oleh Philips dan HP.

Uniloc merupakan organisasi yang aktif memfaikan saman di Amerika Syarikat terhadap syarikat-syarikat teknologi seperti Activision, Blizzard Electronic Arts, Sony dan Microsoft.

Sumber