Apple Tak Mengaku Salah Tapi Akan Bayar Saman "Butterfly Keyboard" Sehingga RM222 Juta

Apple dilaporkan telah bersetuju untuk membayar $50 juta (~RM222.8 juta) untuk menyelesaikan saman ke atas papan kekunci "butterfly" MacBooknya.

Pelanggan di tujuh negeri di Amerika Syarikat mendakwa Apple telah menjual papan kekunci "butterfly", pada komputer riba MacBook, MacBook Air, dan MacBook Pro, dari 2015 hingga 2019, dengan mengetahui papan kekunci yang dikeluarkan itu tidak responsif dan kekuncinya melekit serta mudah tangkap habuk dan serpihan.

Penyelesaian itu boleh menyaksikan pelanggan menerima sehingga:

  • $395 (~RM1760), jika papan kekunci diganti beberapa kali

  • $125 (~RM557), jika hanya sekali diganti

  • $50 (~RM222), untuk yang menggantikan key cap


Bagaimanapun, perjanjian awal masih tertakluk kepada kelulusan hakim.

Seperti yang dinyatakan dalam perjanjian, Apple tidak mengaku melakukan sebarang kesalahan dalam urusan papan kekunci ini.

Pada papan kekunci biasa, kekunci dipasang menggunakan dua keping plastik yang bersilang antara satu sama lain dan seolah seperti gunting apabila ditekan.

Kekunci pada papan kekunci "butterfly" sebaliknya, hanya menggunakan engsel (hinge) seperti sayap.



Pada waktu itu, Apple berkata mekanisme ini 40% lebih nipis, jadi komputer ribanya boleh menjadi lebih slim.

Setelah menerima beberapa aduan, Apple melancarkan program pembaikan dan penggantian, pada 2018, yang meliputi papan kekunci selama empat tahun selepas pembelian.

Namun, pelanggan berkata mereka tetap mengalami masalah yang sama setelah melakukan penggantian.

Apple telah menghapuskan papan kekunci "butterfly" semua sekali pada 2020, dan kini menggunakan standard gunting atau juga dikenali sebagai magic keyboard.

Sumber: CNBC